Ugut penggal kepala: Malaysia, Filipina usaha selamatkan nelayan diculik

Militan Abu Sayyaf mengancam untuk memenggal kepala mangsa jika wang tebusan tidak dibayar. (Gambar Reuters)

SANDAKAN: Pasukan keselamatan negara dan pihak berkuasa Filipina sedang berusaha menyelamatkan 3 nelayan yang diculik di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada Disember lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini.

Katanya, kumpulan pengganas Abu Sayyaf mengancam untuk memenggal kepala mangsa menerusi sebuah video yang dimuat naik ke laman Facebook baru-baru ini.

“Ini perang psikologi kepada pasukan keselamatan dan keluarga mangsa bagi memberi tekanan untuk menunaikan permintaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Buku Panduan Siasatan Jenayah Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabah dan Sarawak.

Pada 14 Feb lepas, kumpulan militan itu memuat naik sebuah video, yang memaparkan 2 lelaki Indonesia dan seorang warga Malaysia, ke laman Facebook menerusi pengguna akaun Kim Hundin dan mengancam untuk memenggal kepala mangsa jika wang tebusan tidak dibayar.

Jumlah wang tebusan tidak disebutkan dalam video itu.

Pada 6 Dis lepas, 3 nelayan dikenali sebagai Jari Abdullah, 34 seorang warga Malaysia dan 2 warga Indonesia – Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa mereka, yang dipercayai diculik dan berada di suatu tempat di Filipina.

Mengenai majlis itu, Fuzi berkata ancaman serangan jenayah membabitkan bahan kimia adalah pada tahap rendah dan terkawal di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata buku tersebut yang menerangkan prosedur operasi standard memberi panduan kepada pihak polis dalam menghadapi sebarang kes jenayah membabitkan penggunaan bahan kimia.