20 maut dalam serangan bom kereta di timur Syria

Insiden berlaku semasa saki-baki militan Daesh merancang untuk mengosongkan kawasan terakhir yang dikuasainya di timur wilayah Sungai Euphrates. (Gambar AFP)

DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh pada Khamis apabila sebuah kereta yang dipasang bom meletup di sebuah pekan yang dikuasai pejuang Kurdish di timur Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi pemantau hak asasi manusia bagi Syria.

Bom kereta itu meletup di pekan Shehel di timur kawasan luar bandar wilayah Deir al-Zour.

Pengeboman menyasarkan konvoi pasukan pertahanan diri Kurdish dan pekerja minyak merupakan antara mangsa yang maut, menurut badan pemantau yang berpangkalan di London itu.

Kenyataan itu menyebut kumpulan militan Daesh merupakan dalang di sebalik serangan tersebut.

Insiden itu berlaku semasa saki-baki militan Daesh merancang untuk mengosongkan kawasan terakhir yang dikuasainya di timur wilayah Sungai Euphrates.

Badan itu berkata, sejumlah 260 militan Daesh masih berada di tanah ladang di pekan Bagouz, manakala berpuluh-puluh orang awam bersiap sedia untuk meninggalkan kawasan tersebut selaras dengan perjanjian tidak rasmi yang dicapai antara Angkatan Demokratik Syria (SDF) dan Daesh.

SDF disokong oleh gabungan tentera pimpinan Amerika Syarikat dalam usaha mereka untuk mengusir Daesh dari timur Syria berhampiran sempadan Iraq.

Perpindahan keluar militan Daesh dan keluarga masing-masing dari timur Syria berjalan agak perlahan sejak kebelakangan ini memandangkan tiada maklumat yang tepat mengenai destinasi mereka.