3.2 juta keluarga tinggal di kawasan risiko tinggi dadah

Datuk Mohd Azis Jamman. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Sebanyak 3.2 juta keluarga dianggarkan tinggal di kawasan berisiko tinggi melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata elemen persekitaran kehidupan yang tidak kondusif menjadi penyumbang kepada faktor risiko dalam penyalahgunaan dadah.

Berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2019 hari ini, Mohd Azis berkata kerajaan pada masa depan akan mengambil kira pembangunan persekitaran selamat dalam merancang penempatan di bandar-bandar mahupun di luar bandar.

“Ini adalah bagi mengikut keperluan penduduk setempat supaya sesebuah kawasan kediaman akan lebih terancang dan selamat.

“Trend penggunaan dadah telah berubah, daripada dadah berasaskan tumbuhan seperti ganja dan heroin, kini beralih kepada dadah sintetik seperti syabu dan ekstasi serta pil psikotropik,” katanya.

Beliau berkata peningkatan penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baru (NPS) adalah ancaman utama kepada masalah penagihan dadah pada masa kini.

Sehingga Disember 2017, kemunculan NPS dilaporkan di 111 negara, katanya.

Azis berkata syabu dan pil kuda paling banyak disalah guna diikuti dadah jenis heroin sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata nilai rampasan pada tahun lalu adalah RM516.323 juta, meningkat sekali ganda berbanding tahun sebelumnya (2017) sebanyak RM292.221 juta.

“Kerajaan amat komited dan akan terus memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah ini melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau turut melepaskan dan menyertai 2,500 peserta “Kayuhan Basikal Putrajaya ‘Fun Ride Against Drugs’ 2019” sejauh 10 kilometer (km) (VIP) dan 33km (orang ramai) dari Istana Kehakiman.

Bulan Antidadah Kebangsaan disambut pada Februari setiap tahun, bertujuan untuk memberi peringatan kepada orang ramai bahawa dadah masih merupakan ancaman utama kepada negara.