Anwar tak sangka PAS guna taktik kotor

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyangka PAS menggunakan taktik kotor dengan menuduh ada komplot menggulingkan perdana menteri selepas parti Islam itu gagal memenangi hati rakyat.

Presiden PKR menganggap PAS cuba memecah-belahkan Pakatan Harapan dan menggunakan taktik kotor itu demi kepentingan peribadi.

“Tidak ada seorang pun yang membangkitkan isu ini tapi PAS tiba-tiba tuduh PH ada komplot. Ini satu perkara yang luar biasa dari PAS.

“Sekarang kita tak pasti sama ada mereka bercakap benar atau tidak tetapi nampaknya menipu sudah dihalalkan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Thirukkural di Universiti Malaya hari ini.

Anwar berpandangan PAS tiada pilihan lain ketika ini selain daripada menyemai kebencian terhadap kerajaan.

“Mereka tahu mereka tidak boleh menang dengan sendiri, jadi mereka sokong pihak yang terlibat dengan korupsi.

“Kalau ini yang Hadi mahukan, silakan, kita tidak layan,” katanya, merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anwar bersama Hadi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah memimpin gabungan parti politik, Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa 2 parti komponen PH mungkin merancang menyingkir Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Beliau mendakwa PAS berikrar menyokong Dr Mahathir dalam satu pertemuan dengan Hadi.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH dan PPBM berkata dia mengambil sikap tunggu dan lihat kalau ada undi tidak percaya itu.

“Saya akan tengok sama ada PAS akan sokong saya atau tidak,” katanya.

Pagi tadi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan komplot itu bukan dibuat-buat kerana “kalau tiada angin, tidak bergoyang pokok”.