Awas, anak buaya berkeliaran di Tasik Shah Alam

(Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Seekor anak buaya tembaga yang ditemui berkeliaran di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 hari ini, dipercayai dilepaskan oleh individu yang tidak bertanggungjawab, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.

Pengarah Abd Rahim Othman berkata siasatan awal mendapati tasik berkenaan tidak bersambung atau mempunyai saluran terus ke mana-mana sungai utama dan agak sukar untuk haiwan itu memasuki tasik berkenaan sendirian.

“Saya yakin ada individu tidak bertanggungjawab melepaskan reptilia itu ke tasik ini. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan setakat ini anak buaya tersebut masih belum berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika beriadah di tasik berkenaan meskipun anak buaya itu tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada mereka.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad, berkata MBSA menerima maklumat berhubung kelibat reptilia yang disyaki seekor buaya bersaiz kecil di taman tasik itu.

Beliau berkata MBSA telah mendapatkan bantuan Perhilitan dan juga pihak bomba untuk menangkap reptilia berkenaan.

“MBSA juga telah memaklumkan kepada operator yang mengendalikan kayak dan bot supaya menangguhkan sementara aktiviti sukan air di tasik sehingga reptilia ini berjaya ditangkap,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Ahmad Subhaan Mohamed pula berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan anak buaya itu kira-kira 9.35 pagi sebelum sebuah jentera bersama 7 anggota bergegas ke lokasi kejadian.