Bekas duta Redzuan Kushairi meninggal dunia

Redzuan Kushairi meninggal dunia akibat serangan jantung.

PETALING JAYA: Bekas diplomat, Datuk Redzuan Kushairi meninggal dunia hari ini pada usia 69 tahun.

FMT difahamkan Redzuan yang juga Dato Shah Bandar dan ahli Dewan Negara Perak, meninggal dunia tengah hari ini akibat serangan jantung.

Ahli kumpulan moderat Melayu G25 itu yang pernah dilantik sebagai duta Malaysia ke Uzbekistan dari 1994 hingga 1996, menamatkan pengajian Hubungan Antarabangsa dan Sejarah di Universiti Malaya sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Moscow State di Rusia.

Rezduan juga pernah berkhidmat sebagai timbalan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, timbalan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke United Kingdom, setiausaha pertama/ketua Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan setiausaha kedua di Moscow.

Beliau juga pernah menjadi pembantu khas kepada bekas menteri luar, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail dan Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie.

Redzuan yang dilahirkan di Taiping, Perak pada 12 September 1949 meninggalkan balu, Datin Vera Redzuan dan 2 anak, Raeleen dan Jasmine.

Bekas ahli G25, Tawfik Ismail menyifatkan Redzuan ialah “kawan baik”.

Katanya, Redzuan ialah insan sederhana yang tidak takut menyuarakan pandangannya dan berkhidmat dengan baik untuk G25.

Beliau menyifatkan pemergian Redzuan sebagai kehilangan besar buat G25 dan negara.

“Beliau banyak membantu dalam menyuarakan isu semasa. Dengan latar belakangnya dalam hubungan diplomatik, beliau mampu memberi perspektif antarabangsa mengenai isu tempatan.

“Beliau seorang yang sangat ramah – beliau senang dibawa berbincang dan memberi nasihat sangat baik kepada semua orang.”