Bolivia: Pembangkang bantah presiden Evo Morales mahu bertanding semula

Berkuasa sejak 2006, Morales merupakan presiden Bolivia paling lama berkhidmat dan yang pertama daripada masyarakat pribumi. (Gambar AFP)

LA PAZ: Penyokong pembangkang dan organisasi kemasyarakatan turun ke jalan raya di beberapa bandar di Bolivia bagi membantah rancangan Presiden Evo Morales yang berhasrat bertanding semula untuk penggal ke-4.

Penunjuk perasaan pada Khamis turun ke jala raya di bandar utama seperti La Paz, Sucre, Santa Cruz dan Potosi pada hari sambutan ulang tahun ke-3 referendum yang menyaksikan Morales gagal dalam usaha beliau mendapatkan sokongan orang ramai bagi menghapuskan had penggal untuk berkuasa.

Perlembagaan Bolivia 2009, yang diisytiharkan sendiri oleh Morales, mengehadkan seorang presiden memegang jawatan itu selama 2 penggal berturut-turut.

Meskipun berdepan kegagalan berkaitan referendum 2016, kerajaan Morales menolak keputusan itu, manakala Mahkamah Perlembagaan, yang penuh sesak dengan penyokongnya, memutuskan beliau mempunyai hak untuk dipilih semula.

Pemimpin berhaluan kiri itu dijangka bertanding pada pilihan raya Oktober ini dalam usaha melanjutkan tempoh pemerintahan beliau.

Berkuasa sejak 2006, Morales adalah presiden Bolivia paling lama berkhidmat dan yang pertama daripada masyarakat pribumi.

Di kubu kuat pembangkang di Santa Cruz, penunjuk perasaan dijangka memungut tanda tangan untuk dihantar kepada presiden Colombia dan Brazil, yang merupakan negara penjamin perlembagaan Bolivia 2009.

Pembangkang berkata Morales, ketika berkhidmat dalam penggal pertamanya, berjanji kepada kedua-dua negara penjamin bahawa beliau tidak akan bertanding lagi sebagai balasan kepada sokongan pembangkang terhadap perlembagaan baru itu.

Bagaimanapun, beliau bertanding sebanyak 2 kali selepas itu.