Dengarlah suara guru untuk jayakan revolusi pendidikan

Benar kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bahawa dalam perjalanan untuk sampai ke destinasi kejayaan pendidikan negara, ia bukannya “one-man show” kerana Tuhan tidak mengubah nasib sesebuah kaum, melainkan kaum itu berusaha sendiri.

Warga guru merupakan pendidik yang bersifat mulia dan berintegriti tinggi. Andai kata tercalar imej dan wajah pendidik, mereka sendirilah perlu bangkit dan memulihkan imej itu dengan kekuatan yang perlu ditunjukkan kepada semua rakyat Malaysia.

Perkara ini sangat jelas dan tidak mungkin berjaya dalam tempoh terdekat dengan usaha seorang dua, tetapi ia tidak mustahil tercapai sekiranya golongan pendidik bersatu menuju matlamat sama.

Impian saya tidak lain tidak bukan untuk Kementerian Pendidikan mengembalikan martabat profesion perguruan pada masa depan.

Setahu saya, ajaran Islam telah meletakkan kedudukan guru di peringkat sangat tinggi. Tingginya penghargaan itu sehingga Islam menempatkan kedudukan guru setingkat di bawah kedudukan nabi dan rasul.

Memetik kata Imam al-Ghazali, sesiapa yang memilih pekerjaan mengajar, maka ia sesungguhnya telah memilih pekerjaan besar dan penting.

Maka, saya yakin Islam pasti memuliakan guru, lebih-lebih lagi saya hidup dan berkhidmat sebagai seorang guru di negara Islam yang bersifat terbuka.

Selain memberi masa mencukupi kepada menteri pendidikan yang berjiwa besar dan bermatlamat tinggi, pendidik seharusnya bergerak seiring sekata kerana mereka merupakan golongan terdidik dan terpelajar, golongan pemikir yang kritis dan berdaya saing.

Mereka mampu berfikir dan melaksanakan arahan dengan cara tersendiri tanpa menyimpang jauh daripada tabii.

Penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara antara strategi utama Kementerian Pendidikan dalam usaha memartabatkan kembali sistem pendidikan.

Hal ini dikatakan demikian kerana orang ramai dari pelbagai peringkat dan lapisan dipelawa memberi cadangan dan idea baru.

Pendidik merupakan individu penting yang akan turut menyumbangkan idea dalam hal ini dan ibu bapa sudah tentu turut memberikan pandangan dari sudut kepentingan mereka.

Jika boleh, pendidik perlu dipelawa menyertai jawatankuasa revolusi untuk menegaskan suara guru melalui wadah paling tepat.

Di sini, kami benar-benar berharap setiap cadangan itu akan diteliti sedalam-dalamnya. Biarlah pendidik sendiri menentukan apa itu beban berat atau tugas ringan kerana hanya mereka yang mengetahui sejelas-jelasnya, malah sedalam-dalamnya.

Biarlah pendidik menjelaskan keadaan sebenar di sekolah bagi mencari jalan penyelesaian. Kemudian, semua arahan perubahan yang jelas dan tegas diturunkan dari peringkat atasan kepada akar umbi, malah sistem penyampaian berkesan perlu diamalkan secara efektif.

Andai kata mengajar itu indah bahagia, sudah tentu anak-anak akan mekar berkembang, persis bunga raya memerah di laman bangsa. Andai kata mendidik itu menggembirakan, sudah tentu pepohon bangsa akan terus subur di rimba Malaysia yang tercinta.

Kita sebagai guru Malaysia perlu menggerakkan jari-jemari dan menghadap skrin telefon pintar mahupun komputer untuk mengisi kaji selidik beban tugas guru untuk memaklumkan kebenaran. Kita perlu meluahkan kebenaran tentang senario terkini di sekolah demi revolusi pendidikan.

Dakaplah peluang revolusi ini untuk menyampaikan hasrat kepada nakhoda pendidikan baru!

Teo Wei Sing ialah seorang pendidik.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.