Hak milik tanah, bekalan air, jalan raya, terus belenggu Orang Asli

Penduduk Orang Asli Kampung Sungai Lalang Baru terus dibeleggu masalah pemilikan tanah, bekalan air bersih dan jalan raya.

SEMENYIH: Masalah pemilikan tanah, air, dan jalan raya membelenggu penduduk Orang Asli Kampung Sungai Lalang Baru, yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini sejak beberapa tahun lalu.

Tok batin kampung tersebut, Aleh Abdullah, 53, berkata, pihaknya telah bertungkus-lumus untuk memiliki tanah di kawasan itu sejak berpindah ke situ dari Empangan Semenyih 35 tahun lalu.

Menurut Aleh, kawasan penempatan yang kini mempunyai kira-kira 500 penduduk adalah hutan simpan.

Katanya, disebabkan kawasan itu hutan simpan, penduduk Orang Asli di situ selalu dimarahi oleh penguat kuasa Jabatan Perhutanan kerana mengambil air dari Sungai Tekala.

Katanya, mereka memerlukan air bersih untuk minum tetapi tindakan penguat kuasa jabatan tersebut menyusah dan menakutkan Orang Asli di situ.

Aleh Abdullah.

Aleh, yang menjadi tok batin di situ sejak 1997, berharap kerajaan memberikan mereka tanah untuk mereka bebas bergerak.

“Kami mahu bercucuk tanam, mahu keluarkan madu kelulut, tebang pokok dan sebagainya tapi tidak boleh kerana kami tinggal di hutan simpan,” katanya.

Aleh berkata, masalah jalan raya untuk masuk ke kawasan perumahan Orang Asli di kampung tersebut juga menjadi isu.

Katanya, kali terakhir jalan raya di kawasan perumahan Orang Asli si situ diturap adalah 4 tahun lalu.

“Hari ini, banyak tempat di sepanjang jalan kira-kira 1km itu berlubang-lubang,” katanya.

Mengenai perbandingan antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dan Pakatan Harapan (PH) yang sudah mentadbir selama 9 bulan, Aleh berkata BN lebih banyak membantu masyarakat Orang Asli di situ sehinggalah PH memenangi pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.

Nursyuhada Idi Ahmad.

Beliau juga memuji BN atas pelaksanaan projek dan program pembangunan lain di kawasan itu sebelum ini.

“Semasa (BN), mereka jaga DUN Semenyih, apa yang kita perlu dia bagi. Tapi apabila PH menang DUN Semenyih, mereka tak datang ke kawasan Orang Asli,” katanya.

Bagaimapun Aleh mengakui, wakil PH ada memberi bantuan kepada orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal dalam kalangan Orang Asli.

Sementara itu seorang penduduk di situ, Nursyuhada Idi Ahmad, 27, berkata, jika dibandingkan wakil BN dulu lebih kerap turun padang, mendengar aduan mereka dan membawa bantuan.