Kos LRT3 dikurangkan 47% berbanding kos asal RM31.65 bilion

Lim Guan Eng bergambar dengan para hadirin selepas pemeteraian Perjanjian Novasi LRT3 antara Prasarana, MRCB-GK dan Kontraktor Pakej Kerja di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akan dibina pada harga RM16.63 bilion, 47% lebih rendah daripada kos asal RM31.65 bilion.

Katanya, penjimatan kos itu dicapai selepas kerajaan menyedari kapasiti asal melebihi keperluan semasa dan permintaan dalam masa 20 tahun akan datang.

“Saya ingin tegaskan penjimatan ini dicapai tanpa menggugat kualiti perkhidmatan dan keupayaan LRT3 menampung keperluan harian 2 juta warga kota sehingga 2042. Jarak 37.6km juga dikekalkan,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Novasi LRT3 antara Prasarana, MRCB-GK dan Kontraktor Pakej Kerja di sini, hari ini.

Laluan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dan Johan Setia di Klang, akan memakan masa sejam saja dan dijangka mula beroperasi pada 2024.

Laluan sepanjang 37.6km itu mampu mengurangkan masa perjalanan dari Klang ke Petaling Jaya yang memerlukan lebih 2 jam dengan memandu dalam kesesakan trafik.

Kajian menganggarkan 67,000 penumpang akan menggunakan LRT3 setiap hari dan permintaan itu dijangka meningkat kepada 126,000 penumpang pada 2030 serta 219,000 orang pada 2040.

Bagi memastikan harga kontrak tidak berubah, kerajaan menukar kontrak dengan MRCB-GK daripada Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDP) kepada kontrak harga tetap.

Di bawah perjanjian baru itu, Prasarana hanya perlu membayar RM760 juta, bukannya RM808 jita seperti dilaporkan media bulan lalu kerana kerja bernilai RM48.6 juta sudah dirasionalisasikan.