Kumpulan peniaga persoal impak lapangan terbang di Kulim

GEORGE TOWN: Kumpulan peniaga di Pulau Pinang mempersoalkan keberkesanan kewujudan sebuah lapangan terbang di Kulim serta impaknya kepada ekonomi untuk jangka panjang.

Luahan ini dibuat berikutan pengumuman kerajaan Kedah bahawa ia mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan untuk membina lapangan tersebut dengan menggunakan dana sektor swasta.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Finn Choong Khuat Seng mempersoalkan lokasinya yang dianggap kurang sesuai memandangkan ia dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Katanya, jarak antara kedua lokasi itu cuma 30km dan lebih sesuai sekiranya lapangan terbang baru dibina di Bukit Kayu Hitam, berdekatan sempadan Malaysia-Thailand, seperti yang dicadangkan dalam rancangan Segitiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT).

Bukit Kayu Hitam dirasakan lebih sesuai kerana berhampiran pekan Danok di selatan Thailand, bandar Medan di Indonesia dan Perlis.

Presiden Dewan Perniagaan India Pulau Pinang, Datuk N Gobalakrishnan berkata lokasi lapangan terbang baru di Kedah sepatutnya lebih 100km dari Bayan Lepas bagi mengelakkan pertindihan perkhidmatan.

Beliau bimbang kewujudan lapangan terbang di Kulim akan menyebabkan perniagaan-perniagaan baru meninggalkan Pulau Pinang kerana nilai hartanah dan kos berniaga di Kulim lebih murah.

Walaupun perniagaan-perniagaan yang sudah membangun akan kekal di Pulau Pinang, kerajaan perlu mewajarkan keperluan sebuah lapangan terbang baru di Kulim.

“Mesti terangkan sama ada industri di Kulim akan guna lapangan terbang baru untuk kargo atau pengangkutan.

“Kalau tiada permintaan, ia akan merugikan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang tidak membantah pembinaan lapangan terbang baru tetapi kerajaan tidak perlu bergopoh-gapah tanpa mendapatkan nasihat pakar.

Presiden Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir mencadangkan kerajaan Kedah mendapatkan bantuan Jepun melalui pelan logistik negara yang sedang dibincangkan.

Beliau percaya ahli perniagaan di Pulau Pinang tidak perlu bimbang kerana negeri itu mempunyai kluster industri yang sudah membangun dan dikenali.

Malah, katanya, kesan daripada kewujudan lapangan terbang baru boleh memanfaatkan para peniaga di Pulau Pinang.

“Kebimbangan kita lebih kepada faktor luar yang memberi kesan kepada iklim ekonomi nasional kita dan bagaimana kita perlu kurangkan impak negatif, bukan mengenai pembinaan sebuah lapangan terbang.

“Sekarang masanya untuk kita jadi nasionalis dan memikirkan cara memesatkan ekonomi kita,” katanya apabila dihubungi.

Kedah mempunyai sebuah lapangan terbang di Kepala Batas, kira-kira 10km ke utara Alor Setar.

Menurut laporan, ada rancangan untuk menaikkannya ke taraf antarabangsa 4 tahun lagi.

Perak juga pernah menyatakan hasratnya untuk membina lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Seri Iskandar, 50km ke barat daya Ipoh.

Ia bercadang menjadikan lapangan terbang lama di Ipoh untuk jet peribadi sahaja.

Pulau Pinang pula merancang untuk menaik taraf lapangan terbang antarabangsa sedia ada yang sekarang beroperasi melebihi kapasiti.

Ia juga mempunyai rancangan untuk membina sebuah lagi lapangan terbang di atas tanah tebus guna di Batu Maung, yang terletak kira-kira 4km dari Bayan Lepas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini mengumumkan sebuah syarikat tujuan khas khas, KXP Airport City Holding Sdn Bhd, untuk meneliti rancangan membangunkan lapangan terbang di Kulim.

Syarikat itu akan mula beroperasi pada 4 Mac dengan kos membina lapangan terbang dianggarkan RM1.6 bilion.