Kuwait bebas 161 banduan sempena Hari Kebangsaan ke-58

Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, membuat dekri tersebut bagi memberi peluang kepada banduan yang dibebaskan berbakti kepada masyarakat. (Gambar Reuters)

KUWAIT CITY: Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah pada Khamis mengeluarkan satu dekri bagi membebaskan 161 banduan yang berdepan pertuduhan berbeza, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri.

Kenyataan itu menyebut langkah tersebut dibuat sempena sambutan ulang tahun ke-58 Hari Kebangsaan dan ulang tahun ke-28 Hari Pembebasan negara Arab berkenaan.

Kesemua banduan akan dibebaskan mulai 25 Feb dan dekri itu turut membabitkan pengurangan hukuman ke atas 545 banduan lain.

Dekri itu bertujuan memberi peluang kepada banduan yang dibebaskan untuk berbakti kepada masyarakat, menurut kenyataan tersebut.