Mahkamah tolak permohonan gantung inkues Adib

Nama Muhammad Adib Mohd Kassim tertera dalam carta organisasi Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

PUTRAJAYA: Inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan diteruskan mengikut jadual, selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhan sementara yang difailkan badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid berkata, inkues itu perlu diteruskan kerana ia adalah kes berkepentingan awam.

“Ada isu kontroversi yang perlu ditentukan, oleh itu inkues tidak patut ditangguhkan.”

Panel yang turut dianggotai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung, itu menetapkan 4 Mac untuk mendengar permohonan penangguhan.

Ini untuk membolehkan Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit balas kepada permohonan badan bertindak itu untuk menangguhkan inkues sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ia juga untuk membolehkan badan bertindak itu menjelaskan kedudukan perundangannya untuk membawa tindakan dalam kapasitinya sebagai pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Peguam, M Visvanathan yang mewakili badan bertindak itu, memohon penangguhan sementara menunggu pendengaran penangguhan sebenar.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menolak kerana inkues itu sudah dijadualkan berlangsung sehingga 12 April ini.

Badan bertindak itu memfailkan permohonan penangguhan untuk menggantung inkuiri pada 13 Februari lalu, sementara menunggu penyelesaian rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan memberi mereka status pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Visvanathan berkata, permohonan penggantungan itu sudah diserahkan bersama sijil perakuan cemas.

Katanya, rayuan anak guamnya tidak akan bermakna, jika inkues yang dikendalikan Koroner, Rofiah Mohamad diteruskan.

Seramai 13 daripada 30 saksi sudah memberi keterangan sepanjang 8 hari inkues berlangsung.

Pada 8 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Abd Karim Abd Rahman ketika menolak permohonan badan bertindak dan penganut yang mahu terbabit dalam inkues itu berkata, pemohon “tiada neksus” dengan insiden itu untuk menjadi pihak berkepentingan.

Pada 31 Januari lalu, Rofiah menolak permohonan 50 penganut dan badan bertindak kuil Hindu itu menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu kerana tiada “alasan substantif, nyata dan munasabah”.

Majlis Peguam, keluarga Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dibenarkan membantu inkues itu.

Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam keganasan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, pada 27 November lalu.
Anggota bomba berusia 24 tahun itu meninggal dunia pada malam 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.