Najib boleh dituduh hina mahkamah kerana pertahan Hafarizam dan Stadlen, kata peguam

Najib Razak mempertahankan peguam Umno dan bekas penasihat perhubungan awamnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Beberapa peguam bersetuju Datuk Seri Najib Razak melampaui batas dengan membuat kenyataan berkaitan kes mahkamah melibatkan peguam Umno, Datuk Hafarizam Harun dan bekas penasihat perhubungan awamnya, Paul Stadlen.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, bekas perdana menteri itu cuba mendapatkan sokongan rakyat dan penghakiman media.

“Beliau berisiko dituduh menghina mahkamah dengan berbuat demikian.

“Najib sepatutnya sudah tahu peraturan mahkamah, selepas menghadiri banyak prosiding kes jenayah sendiri,” katanya kepada FMT.

Rafique berkata, pertuduhan terhadap Hafarizam masih baru dan mahkamah masih menanti dokumen daripada pihak pendakwaan.

“Najib cuba memberi gambaran pendakwaan politik tanpa menghormati undang-undang. Kalau ada bukti pun, ia perlu dikemukakan ketika perbicaraan, bukan melalui media.”

Katanya, Najib berisiko diberi amaran, didenda atau dipenjarakan, jika pihak pendakwaan mengenakan pertuduhan menghina mahkamah terhadapnya.

Seorang lagi peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, Najib sepatutnya membenarkan mahkamah membuat keputusan sama ada pihak pendakwaan mempunyai bukti mencukupi terhadap Hafarizam dan Stadlen.

“Mahkamah akan buat keputusan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah, selepas keterangan diberi melalui saksi dan bukti dokumentari.”

Syed Iskandar bersetuju dengan Rafique yang Najib cuba memenangi sokongan orang ramai dengan harapan untuk mempengaruhi mahkamah.

Peguam, Salim Bashir berkata, Najib boleh bercakap mengenai perkara itu kerana tiada larangan dikeluarkan mahkamah, tetapi beliau perlu mengelak daripada melakukannya.

“Sewajarnya, beliau tidak patut membincangkan kes-kes tersebut kerana mungkin menjadi saksi.”

Beliau berkata, Najib tidak mengadili isu tersebut sebelum mahkamah membuat keputusan dan cuba mempengaruhi masyarakat kerana tiada perbicaraan juri di Malaysia.

Semalam, Najib mempertahankan Hafarizam dan Stadlen yang berdepan pertuduhan pengubahan wang membabitkan RM15 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, bayaran dibuat Hafarizam kepada Stadlen adalah sah dan datang daripada “sumber sah”.

Katanya, wang yang dibayar kepada Stadlen itu diserahkan kepada Hafarizam untuk dimasukkan dalam sebuah akaun amanah supaya peguam itu boleh membuat bayaran kepada Stadlen bagi tempoh beberapa tahun.

Semalam, Hafarizam mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan pengubahan wang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mahkamah turut diberitahu Stadlen yang didakwa tanpa hadir atas pertuduhan sama, akan dibicarakan bersama Hafarizam jika pihak berkuasa berjaya menahannya.