Pakar gesa pendidikan seksual, kuat kuasa undang-undang lawan pedofilia

Pensyarah USM, Mohd Taufik Mohammad berkata, melalui pendidikan seks, kanak-kanak boleh mengenal pasti karakter pelaku pedofilia dan menjauhkan diri dari golongan itu.

GEORGE TOWN: Seorang ahli akademik hari ini berkata, kanak-kanak boleh menghindari pelaku pedofilia melalui pendidikan seksual dari peringkat awal.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Taufik Mohammad berkata, situasi di negara ini menyedihkan kerana masih terdapat golongan ibu bapa yang menganggap perbualan tentang seks adalah tidak sesuai kepada anak-anak.

Ketika dihubungi FMT, Mohd Taufik berkata, melalui pendidikan seksual, kanak-kanak boleh mengenal pasti karakter pelaku pedofilia dan menjauhkan diri dari golongan itu jika mereka didekati.

Beliau berkata, satu kajian yang dilakukannya mendapati segolongan besar ibu bapa tidak mengetahui tentang gejala pedofilia.

“Kebanyakan mereka tidak terdedah dengan masalah ini, kesedarannya cukup rendah. Kita harus memahami bahawa pelindung langsung anak-anak adalah orang tua mereka sendiri.

“Orang tua harus sepenuhnya berwaspada dengan perilaku pedofil ini dan mendidik anak-anak untuk tidak berkomunikasi dengan orang asing,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, walaupun berita tentang pesalah seks, Richard Huckle pernah menggemparkan negara, tetapi masyarakat negara ini masih tidak tahu tentang pedofilia.

Richard Huckle merupakan seorang guru yang menawarkan perkhidmatan tuisyen percuma ketika aktif dalam gerakan keagamaaan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, lelaki yang berasal dari United Kingdom itu kemudiannya ditahan dan dijatuhkan hukuman atas 71 kesalahan seksual terhadap 200 kanak-kanak.

Sebelum ini FMT melaporkan, pengasas bersama kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita, Aegile Fernandez mendedahkan permintaan kepada seks dengan kanak-kanak semakin meningkat di negara ini berikutan penguatkuasaan yang tegas di negara jiran.

“Negara jiran semakin peka mengenai masalah pelacuran kanak-kanak mereka dan pihak berkuasa mereka bekerja keras memerangi fidofilia dan aktiviti seks kanak-kanak.

“Ini bermakna Malaysia semakin menjadi destinasi lelaki yang mahukan seks bawah umur,” katanyanya.

Mengulas lanjut, Mohd Taufik berkata, undang-undang Malaysia berhubung kesalahan seksual kanak-kanak “sangat terkini”, tetapi realitinya, ia hanya melindungi mangsa tempatan.

Jelasnya, ramai ibu bapa dalam kalangan orang asing yang tinggal di negara ini dengan mudah akan menyerahkan anak mereka kepada pihak yang menjanjikan pekerjaan dan gaji lumayan.

Taufik berkata, golongan ibu bapa itu bersedia membiarkan anak-anak mereka dijaga oleh orang lain kerana mereka terlalu miskin.

“Penderitaan ekonomi yang dialami oleh ibu bapa anak-anak ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan mereka menjadi pekerja seks,” katanya.

Tambahnya, satu-satunya penyelesaian kepada masalah tersebut adalah melalui pendidikan seksual kepada orang awam dan ibu bapa, yang bagi beliau belum setaraf atau mencapai tahap yang sama dengan negara lain.

Beliau berkata, pendidikan seksual di Malaysia masih cetek dan ini terbukti melalui kajian di sekolah.

Katanya, di negara membangun yang lain, pendidikan seks selamat dan kelas berkenaan penyakit jangkitan seks diadakan untuk kanak-kanak.

Katanya lagi, Malaysia perlu mengetepikan pemikiran yang menganggap pendidikan seks akan menggalakkan hubungan seks sebelum berkahwin kerana kajian menunjukkan golongan muda akan melengahkan pengalaman seksual pertama mereka jika mereka didedahkan kepada pendidikan seks.

Bekas pesuruhjaya Suhakam, James Nagayam.

Jelasnya, sikap Malaysia yang “menahan diri” daripada pendidikan seks hanya akan mendorong golongan muda untuk lebih tahu tentang seks.

Sementara itu, bekas pesuruhjaya Suhakam dan aktivis hak kanak-kanak, James Nagayam berkata, pelaku pedofilia susah dikenal pasti kerana mereka sering memasuki negara ini sebagai sukarelawan dan pekerja amal.

“Itu yang membuatkan mereka sukar dikesan,” katanya kepada FMT.

Jelasnya, kanak-kanak dalam kelompok keluarga miskin menjadi mangsa utama dan sasaran golongan itu.

Beliau menambah, punca utama ialah kerajaan tidak tegas dalam menangani masalah pedofilia.

“Kita (kerajaan) tidak menghantar mesej yang kuat bahawa kita tidak mahu ini berlaku di sini.

“Kita mesti memberi mereka (pedofilia) amaran yang keras,” katanya.