Panel perkemas pengambilan pekerja asing siap laporan

Pekerja asing mengadu tentang kelewatan dalam proses pembaharuan permit kerja.

PETALING JAYA: Jawatankuasa bebas yang ditubuhkan oleh Kabinet bagi memperkemas dasar dan pengurusan pekerja asing telah menyiapkan laporannya yang akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Jawatankuasa itu, yang diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamuddin Yunus, dibentuk pada 29 Ogos tahun lepas, bagi mencadangkan kepada kerajaan pendekatan holistik berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, jawatankuasa berkenaan akan menyerahkan laporannya dalam masa terdekat, tetapi tidak akan didedahkan kepada umum pada masa sekarang.

“Antara lain, jawatankuasa itu mengadakan sesi bertemu rakyat dengan lebih 100 petisyen dikemukakan kepadanya,” kata beliau.

Kulasegaran berkata, beliau telah membincangkan isu terbabit dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan mengadakan pertemuan dengan menteri terbabit pada 28 Feb ini bagi membincangkan isu berkaitan pekerja asing.

Aduan berhubung kelewatan pembaharuan permit kerja dilaporkan sejak JUn tahun lepas.

Pengarah eksekutif Tenaganita, Glorence A Das berkata, masalah itu, antara lain berpunca daripada kurangnya ketelusan dalam prosedur pembaharuan permit.

Bekas pengarah penguat kuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed, menggesa kerajaan supaya mempercepatkan kajian semula dasarnya berhubung pengurusan pekerja asing bagi menghindari gangguan terhadap sistem pembaharuan permit kerja yang digunakan sekarang.

Katanya, berlaku penangguhan ke atas pembaharuan permit kerja sejak kerajaan baru mengambil alih Putrajaya.

Kulasegaran berkata, tidak ada sekatan ke atas pengambilan pekerja asing atau permohonan pembaharuan permit kerja.

“Tidak ada sekatan ke atas pekerja asing, kecuali dari Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menggantung pengambilan pekerja Bangladesh sementara menunggu siasatan ke atas sistem yang digunakan untuk mengambil pekerja dari negara itu.

“Tidak ada masalah dengan negara lain. Kita telah pun mula merundingkan memorandum persefahaman dengan India, Indonesia dan beberapa negara Asean lain.