Pemuda PPBM tempelak BN kaitkan PH dalam kes kereta disimbah cat

Mercedes Benz milik Rahmad Musa disimbah cat kira-kira 10 malam tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda PPBM hari ini menempelak Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik politik lama dengan mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dalam kejadian kereta pembantu calon parti pembangkang bagi pilihan raya kecil Semenyih disimbah cat malam tadi.

Exco Pemuda PPBM, Mohd Muzzammil Ismail mempersoalkan tindakan menuding jari ke arah PH dalam kejadian itu tanpa sebarang bukti kukuh.

“Kenapa tidak dihalakan serangan kepada calon-calon bertanding lain? Begitu juga ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja membuat dakwaan palsu kononnya calon PH menawarkan wang kepada orang ramai.

“Pihak pembangkang, BN masih lagi dengan taktik politik lama seperti ‘black’ ops, politik hasutan, politik samseng.

“Ternyata perang politik kita masih tidak menjurus ke arah kematangan. Persepsi buruk ditaburkan pihak pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muzzammil berkata, Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat, tetapi bukannya pembangkang yang hanya tahu menggagalkan usaha mengurus tadbir negara.

Utusan Online hari ini melaporkan Mercedes Benz milik bekas Adun Semenyih, Rahmad Musa, yang diletakkan di bahu jalan, disimbah cat kira-kira 10 malam tadi.

Ketika kejadian, Rahmad dilaporkan sedang berbincang dengan calon BN, Zakaria Hanafi dan jentera pilihan raya di bilik gerakan parti itu di Kampung Rinching Hulu.

Rahmad kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Semenyih, tengah malam tadi.

Zakaria menerusi Facebooknya berkata, beliau sedih dengan kejadian itu, tetapi ia tidak melemahkan beliau untuk terus berkempen menjelang PRK Semenyih 2 Mac ini.

“Ini hanya petanda yang menunjukkan anda tercabar dan terancam, benarkah?

“Jika benar, sediakan lebih banyak cat kerana tindakan ini hanya akan menyemarakkan lagi semangat jentera BN dan PAS yang akan membantu saya berkempen di sini.”