Putrajaya masih runding dengan sebuah negara untuk bawa pulang Jho Low

Muhyiddin Yassin menolak dakwaan pembangkang yang Jho Low adalah rekaan semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan BN. (Gambar Bloomberg)

SEMENYIH: Kerajaan mempunyai maklumat kukuh mengenai lokasi Low Taek Jho atau Jho Low berada, tetapi masih berunding dengan sebuah negara untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri dalam negeri itu turut menolak dakwaan pembangkang yang Jho Low adalah rekaan semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan terdahulu.

“Ada yang kata Jho Low ini rekaan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), padahal kita sudah keluarkan waran tangkap dan visa dia turut dirampas bagi menahannya.

“Kita juga tahu di mana dia berada, tetapi tidak boleh membawa pulang selagi negara itu belum beri bekerjasama. Jadi, sampai hari ini belum dapat maklumat, tetapi kita sedang berunding,” katanya dalam satu ceramah sempena pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, malam tadi.

Media melaporkan Jabatan Imigresen membatalkan pasport Jho Low pada 15 Jun lalu atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

Jho Low dikenal pasti penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai watak utama dalam skandal berbilion dolar 1MDB dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu dilaporkan berkata, ahli perniagaan itu berada di negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga presiden PPBM menempelak segelintir rakyat yang melupakan salah laku BN dan Datuk Seri Najib Razak.

“Orang yang dahulunya dipanggil kleptokrat, hari ini digelar bossku.

“Dia kini menghadapi pelbagai tuduhan, orang-orang bawahannya juga didakwa, dia bawa satu masalah besar kepada negara, ini semua perlu diingat,” katanya.