Saya tak tahu dakwaan RM2.5 juta diberi pada PAS, kata Najib

Najib Razak bercakap kepada wartawan selepas program ‘Sembang Santai Bossku’ dengan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi, hari ini.

BANGI: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menafikan beliau pernah membantu PAS membiayai kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak tahu mengenai dakwaan Umno memberi RM2.5 juta kepada PAS.

“Saya tidak tahu pasal itu semua, termasuklah dana RM90 juta (kepada PAS pun) tidak ada,” katanya selepas menghadiri program “Sembang Santai Bossku” bersama pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Baru-baru ini, Sarawak Report mendakwa seorang pembantu bekas bendahari Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak memasukkan RM2.5 juta ke akaun Bank Islam milik PAS sebagai deposit untuk calon parti itu bertanding dalam PRU14.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 11 Februari lalu menafikan parti itu pernah menerima dana itu kerana laporan kewangan yang dibentangkan dalam mesyuarat PAS Pusat tidak ada jumlah itu.

Beliau sebaliknya mencabar Sarawak Report menunjukkan bukti dan memeriksa laporan yang dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia setiap tahun.

Pada 3 Mac 2018, Najib menafikan beliau pernah memberi RM90 juta kepada PAS atau Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, susulan laporan Sarawak Report pada Ogos 2017 mendakwa dana itu “dipercayai” dimasukkan ke akaun pemimpin PAS untuk mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Hadi kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London terhadap Sarawak Report, bagaimanapun kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, awal bulan ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia awal bulan ini dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas dakwaan RM90 juta itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

RCI siasat salah laku hakim

Najib enggan mengulas penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan campur tangan terbuka badan kehakiman membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Saya tidak tahu butir-butirnya lagi. Belum tahu lagi apa-apa.”

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI dan terpulang kepada suruhanjaya itu cara siasatan dan pendakwaan akan dibuat berhubung isu itu.

RCI itu ditubuhkan selepas bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer mengesahkan afidavit setebal 65 muka yang menyokong tindakan undang-undang oleh peguam, Sangeet Kaur Deo terhadap dakwaan kegagalan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum melengkapkan siasatan terhadap 2 kes didakwa campur tangan kehakiman.

Satu daripada kes itu adalah kes hasutan terhadap bapa Sangeet, mendiang Karpal Singh, sementara satu lagi kes membabitkan Hamid, yang mendakwa beliau ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza 2 tahun lalu dalam kes penukaran agama sebelah pihak 3 anak M Indira Gandhi.