Streram tetap dipertimbangkan untuk Rantau, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Dr S Streram akan tetap dipertimbangkan untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau meskipun terdapat tentangan daripada beberapa ahli PKR kawasan tersebut.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka dengan pandangan ahli tetapi Dr S Streram tidak akan diketepikan begitu sahaja.

“Biasalah setiap kali pilihan raya, kita dapat cadangan, calon Melayu ke, Cina ke, India ke, kita akan dengar dan putuskan nanti,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Thirukkural di Universiti Malaya, hari ini.

Pagi tadi, Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) DUN Rantau menolak Dr Streram sebagai calon PRK Rantau.

Pengerusinya, Zuljimmykifli Sahari berkata Streram bukan anak jati Rantau dan dikhuatiri akan ditolak pengundi tempatan.

Katanya, 369 ahli badan tersebut sebulat suara menolak Streram sebagai calon PRK Rantau, sebaliknya menyatakan sokongan kepada Saparin Musa yang berkhidmat sejak 1998, malah antara perintis penubuhan PKR di Rantau.

Justeru, Saparin dianggap mempunyai kelebihan berbanding beberapa nama lain yang disebut-sebut sebagai calon antaranya, R Tanggam dan Streram.

Namun, R Tanggam selaku ketua PKR Rembau menafikan kewujudan badan tersebut dan menganggap mereka tiada hak menamakan calon bagi pihak PKR.

“Saya tidak kenal Zuljimmykifli. Nama-nama calon hanya boleh dicadangkan oleh mesyuarat PKR Rembau,” katanya.

Tanggam berkata, PKR bahagian telah mengadakan mesyuarat dan bersetuju beberapa nama dicadangkan sebagai calon PRK Rantau.

“Selain saya dan ketua wanita, K Bathmavathi, ada beberapa nama lain turut dicadangkan,” katanya.