UKM tangguh program: Najib persoal jasa Kit Siang berbanding beliau

Najib Razak ketika berucap kepada para pelajar di tangga masjid UKM.

BANGI: Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan apakah jasa veteran DAP, Lim Kit Siang berbanding beliau sebagai bekas perdana menteri selepas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menangguhkan program dialognya bersama para pelajar.

Bekas presiden Umno itu sepatutnya bersoal jawab dengan pelajar UKM di bangunan Pusanika pada 3.30 petang tadi tetapi ditangguhkan tanpa sebab ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Untuk rekod, Lim menyertai program “50 Tahun Debat Kebudayaan 1968: Mahu Ke Mana Malaysia?” di UKM pada 11 Disember tahun lepas.

“Apa kelebihan Lim berbanding saya? Apa jasa Lim pada UKM? Tak akan Lim dapat layanan lebih baik daripada saya? Kenapa takut kepada saya? Takut sangat kepada ‘Bossku’?” katanya kepada para pelajar yang turun menemuinya selepas solat Jumaat di masjid UKM.

Lebih kurang 500 pelajar mengerumuni Najib di tangga masjid untuk mendengar ucapan spontannya.

“Saya cuma datang nak berkawan, nak beri pandangan kepada pelajar,” katanya disambut sorakan orang ramai.

Terdahulu, Najib membidas penangguhan program dialognya, mengatakan penganjur program sudah memenuhi syarat-syarat penganjuran.

Bekas perdana menteri itu mempertikaikan ke mana perginya ruang bersuara yang bebas dan terbuka di universiti-universiti yang dijanjikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

“Beliau kata kini kita masuk era baru, kita akan lakukan reformasi, kita akan lebih terbuka, beri kebebasan, kita undang pemimpin Umno, kita terima pemimpin PAS.

“Dahlah janji hapus tol tak tunai, janji minyak turun tak diturunkan, janji hapus hutang PTPTN tak buat, janji keterbukaan pun tak boleh tunai juga,” katanya disambut laungan “betul” daripada para pelajar.

Najib memberitahu hadirin dia akan menulis surat meminta pentadbiran UKM memberikan tarikh untuk program dialog baru.

“Kalau tunda tolong beri tarikh baru. Saya akan turun lagi sekali,” katanya.

Najib Razak berdialog dengan para pelajar UKM di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi selepas solat Jumaat.

Terus tekan PH

Sementara itu, Najib dan para pelajar mengadakan dialog di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi yang terletak beberapa kilometer dari UKM.

Bekas perdana menteri berkata dia akan terus menekan Pakatan Harapan bagi membela nasib pelajar, antaranya meneruskan program biasiswa MyBrain dan diskaun 20% bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

“Saya nak pelajar ada kebolehan melanjutkan pelajaran. Tadi selepas solat Jumaat ada pelajar mengadu minta tolong, kena bayar RM4,000 setahun tapi tak mampu. Menerusi program MyBrain, ketika zaman BN, pelajar ditanggung sepenuhnya.

“Begitu juga dengan PTPTN. Kita minta teruskan diskaun bayaran balik. Jangan paksa ikut kadar baru. Tak usah paksa kalau pelajar tak mampu. Minta bayar RM100 atau RM50 pun tidak apa asalkan mereka bayar,” katanya.

Beliau berkata BN akan pastikan biasiswa dan diskaun bayaran balik jika Barisan Nasional menang pilihan raya.

Berkaitan penangguhan program dialognya di UKM, Najib diingatkan bahawa pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan masuk ke universiti bawah pentadbiran BN.

Bekas perdana menteri mempertahankan sekatan itu, mengatakan ketika itu Akta Universiti dan Kolej Universiti belum dipinda.

“Ya pada masa itu kita tak pindah lagi, jadi sekarang ini dah dipinda, jadi bebas lah,” katanya.

Program biasiswa MyBrain diperkenalkan untuk penjawat awam yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran pada 2015.

Kerajaan memaklumkan program itu ditangguhkan pada Julai tahun lepas kerana masalah kewangan.

Diskaun 20% bagi pembayaran keseluruhan pinjaman PTPTN dihentikan tahun ini kerana ia adalah inisiatf bawah Belanjawan 2018.

PTPTN pada Januari dilapor ia akan meneliti pemberian diskaun itu.