Zakir Naik tak boleh ceramah kerana tiada tauliah, kata jabatan agama P Pinang

Pengarah JAIPP, Zulkifli Long (tengah) bersama Zakir Naik dalam satu gambar yang diambil pada Disember. (Gambar Facebook JAIPP)

GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) berkata Dr Zakir Naik tidak boleh menyampaikan ceramah terbuka di Pulau Pinang pada Jun ini kerana penceramah itu tidak mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Pengarah Zulkifli Long berkata sesiapa yang mahu berceramah mengenai Islam mesti mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama.

Beliau memberitahu FMT bahawa Naik boleh memohon tauliah dengan membayar sedikit yuran.

Zulkifli menjelaskan perkara itu selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang dilapor enggan membenarkan satu ceramah umum oleh Naik pada 14 Jun ini di Stadium Bandaraya.

Beliau berkata tauliah diberi mempunyai 6 syarat, antaranya tidak mengajar sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan tidak menyakitkan hati penganut agama dan budaya lain.

Sementara itu, Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa, yang merancang untuk menganjurkan acara Naik di Pulau Pinang memberitahu ceramah umum itu telah ditunda.

Ia enggan mengulas lanjut.

Naik dituduh menyampaikan ucapan-ucapan yang bersifat provokasi, yang menurut Bangladesh menjadi penyebab kepada serangan yang meragut 22 nyawa di Dhaka pada 2016.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat Yayasan Penyelidikan Islam milik Naik atas dakwaan pengubahan wang.

Naik menafikan semua tuduhan itu, mengatakan dia mangsa media India yang dituduh mensensasikan isu berkenaan dalam usaha mendapatkan lebih ramai penonton.

Penceramah berusia 53 tahun itu, yang rapat dengan pimpinan kerajaan terdahulu, diberi status pemastautin tetap dan melawan cubaan menghantar beliau pulang ke negaranya.

Anak beliau, Fariq, pernah berucap di Pulau Pinang pada April 2016.

Program di Universiti Sains Malaysia itu dihadiri lebih kurang 4,000 orang.