AS mahu dapatkan semula RM154 juta lagi aset berkait 1MDB

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkata, ia memfailkan aduan bagi pelucutanhak dan mendapatkan kembali kira-kira AS$38 juta (RM154) aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB, menjadikan jumlah aset yang kini tertakluk kepada pelucutanhakan kira-kira AS$1.7 bilion (RM6.9 bilion).

“Tindakan mahkamah terbaru ini menyasarkan aset yang diambil oleh pegawai yang rasuah dan sekutu mereka melalui satu skim penipuan besar-besaran yang mencuri beberapa bilion dolar daripada rakyat Malaysia dan hasilnya diubah di serata dunia,” kata peguam AS Nick Hanna dalam satu kenyataan.

Aduan yang difailkan Jumaat lepas di California melibatkan hartanah mewah di London dan New York, serta dana yang ditukar menjadi ekuiti dalam sebuah syarikat pengurusan kemudahan di Kentucky. Ia berkait dengan jualan bon syarikat pelaburan kerajaan itu pada 2012 dan 2013, kata jabatan berkenaan.

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Putrajaya mungkin akan menangguhkan ekstradisi bekas pengurus bank Goldman Sachs Group, Roger Ng, yang dikehendaki dalam skandal berbilion dolar itu, bagi membolehkan beliau didakwa di Malaysia terlebih dulu.

Jabatan itu menganggarkan sebanyak AS$4.5 bilion dilesapkan oleh pegawai dana atasan 1MDB dan sekutu mereka antara 2009 dan 2014, termasuk dana yang didapatkan oleh Goldman Sachs sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon berjumlah AS$6.5 bilion.

Goldman menafikan sebarang salah laku di pihaknya dan berkata, sebilangan anggota kerajaan Malaysia sebelum ini dan 1MDB berbohong kepadanya mengenai hasil jualan bon tersebut.