Benarkan Zakir Naik berucap, tetapi dengan syarat, kata mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor.

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor hari ini berkata, pendakwah warga India, Dr Zakir Naik perlu diberikan peluang untuk menyampaikan syarahannya di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, Zakir perlu mematuhi beberapa garis panduan supaya tidak menimbulkan “masalah” yang boleh memberi kesan ke atas keharmonian orang Islam dan rakyat Malaysia umumnya.

Beliau berkata, Zakir, seorang pendakwah dan tokoh terkenal, perlu memohon tauliah mengajar agama bagi memenuhi undang-undang dan peraturan Islam di negeri itu. Permohonan itu boleh diluluskan dengan cepat, katanya.

Semalam, pihak berkuasa Islam Pulau Pinang memberitahu Zakir belum memperoleh “tauliah” dan oleh itu tidak dibenarkan bercakap tentang hal-ehwal Islam kepada orang awam.

Ini berikutan rancangan satu kumpulan untuk membawa Zakir menyampaikan syarahan di George Town pada Jun depan.

Wan Salim berkata, pihak berkuasa Islam tempatan perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerana mereka bertanggungjawab memastikan semua kegiatan keagamaan tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan orang Islam dan masyarakat Malaysia pelbagai kaum.

“Justeru setiap orang yang ingin mengajar agama, menyampaikan ceramah atau kuliah agama dikehendaki memohon tauliah terlebih dahulu sebelum satu-satu program diadakan.

“Pihak berkuasa agama berhak menghalang mana-mana individu untuk mengajar atau menyampaikan ceramah agama sekiranya didapati individu itu berpotensi menimbulkan kemelut yang sukar diatasi.

“Bagaimanapun menurut pandangan saya, seorang tokoh pendakwah seperti Dr Zakir Naik wajar diberi peluang berceramah dengan diberi garis panduan tertentu untuk dipatuhi supaya tudak menimbulkan masalah.” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Wan Salim berkata, keputusan untuk membenarkan Zakir berucap adalah terserah kepada pihak berkuasa kerana mereka mungkin mempunyai sebab tersendiri bagi membenarkan atau melarang seseorang daripada berucap.

“Apapun, keamanan dan kepentingan negara adalah keutamaan yang perlu didahulukan dalam apa jua keputusan yang dibuat. Kita percaya semua nasalah mampu ditangani menerusi rundingan antara pihak terbabit sekiranya ada keikhlasan dan pertimbangan yang bijaksana..”