Difteria: Kanak-kanak meninggal dunia, tiada imunisasi sejak lahir

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 1 bulan meninggal dunia 2 hari lepas, disyaki akibat jangkitan difteria.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu.

Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lepas dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

“Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari 2019 dengan sebab kematian mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kanak-kanak itu menunjukkan kehadiran bakteria “corynebacterium diphtheriae” dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria.

Hisham berkata penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria “corynebacterium diphtheriae” yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut.

Menurutnya, pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi.

“KKM telah mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan ini (difteria) termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan,” katanya.

Hisham berkata sejak Januari tahun ini sehingga kini, terdapat 1 kes difteria telah disahkan di Malaysia.

Beliau berkata tahun lepas, 18 kes dengan 5 kematian dilaporkan di negara ini yang 4 daripada 5 kematian berkenaan didapati tiada menerima imunisasi.

semua kematian difteria bagi tahun lepas itu melibatkan kanak-kanak di bawah 10 tahun, katanya.

Hisham berkata sehubungan itu, KKM ingin menasihati orang awam terutamanya ibu bapa agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain.

“Pastikan anak anda diberikan imunisasi. Imunisasi adalah cara pencegahan penyakit yang berkesan dan selamat. Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperoleh daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan anak anda kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan kanak-kanak lain,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka dinasihati agar tampil mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM dan bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

Jabatan kesihatan berjaga-jaga

Petang tadi, keputusan awal ujian saringan terhadap keluarga dan pihak yang mempunyai kaitan dengan kanak-kanak itu menunjukkan mereka tidak dijangkiti penyakit itu, kata Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahudden Abdul Aziz.

Beliau berkata ujian saringan yang turut melibatkan doktor dan petugas hospital terbabit, bertujuan memastikan jangkitan tidak merebak kepada individu lain.

“Jabatan Kesihatan Johor kini juga dalam langkah berjaga-jaga dan sedang melakukan pemantauan bagi memastikan jangkitan tersebut tidak merebak,” katanya yang dihubungi hari ini.

Selahudden menasihati ibu bapa atau penjaga kanak-kanak supaya tidak mengabaikan kepentingan imunisasi terhadap kanak-kanak.

“Difteria dapat dicegah jika kanak-kanak diberi imunisasi. Maka, ibu bapa dinasihati mematuhi jadual imunisasi lengkap seperti ditetapkan,” katanya.