Ganjaran RM10,000 untuk kesan bekas suami, anak Indira

Indira Gandhi (kanan) bersama Presiden Hindu Sangam, RS Mohan (2 dari kanan) dan ketua Pasukan Bertindak Indira Gandhi, Arun Dorasamy (kiri sekali) pada sidang media.

PETALING JAYA: Satu kumpulan yang ditubuhkan oleh beberapa ahli persatuan sivil untuk membantu guru tadika, M Indira Gandhi mencari anak perempuannya yang hilang menawarkan ganjaran RM10,000 untuk menjejaki bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) meminta orang ramai tampil memberikan maklumat yang relevan berkenaan Riduan dan anak bongsu Indira, Prasana Diksa, yang hilang 10 tahun lalu.

Indira pada satu sidang media hari ini berkata Prasana tidak diserahkan kepadanya walaupun mahkamah memihak kepadanya.

“Yang paling menakutkan saya sebagai seorang ibu adalah saya tak tahu adakah anak saya masih hidup hari ini atau tidak.

“Pasukan Ingat periksa pangkalan data Kementerian Pendidikan tapi kami tak temui namanya didaftarkan di mana-mana sekolah.

“Jadi di mana dia berada sekarang kalau dia tidak bersekolah?” kata Indira.

Indira berkata ada dakwaan mengatakan Prasana mungkin didera.

“Kalau betul khabar angin itu, saya sedih kerana saya tiada di sisinya untuk mengharungi masa sukar. Harapan saya untuk memeluknya semakin berliku,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengarahkan ketua polis negara menangkap Riduan kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah menyerahkan Prasana kepada Indira.

Kanak-kanak itu berusia 1 tahun pada 2009 semasa Riduan mengambilnya daripada Indira.

Indira juga berjaya membatalkan penukaran agama anaknya oleh Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan.

Polis berkata mereka memburu Riduan sejak 2014 dan menggesa orang ramai tampil memberikan maklumat berkaitan Riduan.

Sementara itu, ketua Ingat, Arun Dorasamy berkata, Indira dan kumpulan itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam terhadap seorang bekas menteri kerana didakwa salahguna kuasa.

Mereka menggesa SPRM menyiasat bekas menteri itu kerana ada dakwaan dia mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan satu lagi kad pengenalan MyKid untuk Prasana.

Arun berkata pasukan peguam Ingat merancang memfailkan permohonan memaksa KPN mencari Prasana.

Beliau berkata Indira memfailkan permohonan sama pada 2014 untuk memaksa ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesan dan memulangkan Prasana kepadanya tetapi permohonan itu dibuang mahkamah.

“Kepada siapa lagi yang boleh kami mohon bantuan selain polis, untuk mencari Prasana supaya kanak-kanak itu boleh disatukan dengan Indira,” kata Arun.

Beliau berkata polis patut menubuhkan satu pasukan petugas untuk mencari Riduan.