‘Hubungan kewangan’ sebab kerajaan BN hantar tentera ke Yaman, dakwa penganalisis

Penganalisis politik Chandra Muzaffar berkata, dari awal lagi niat menempatkan anggota tentera Malaysia di Yaman bukanlah untuk memindahkan pelajar kita di sana.

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar hari ini mendakwa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menghantar tentera Malaysia bagi membantu peperangan di Yaman disebabkan wujudnya ‘hubungan kewangan’ dengan kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata demikian susulan kritikan terhadap keputusan kerajaan terdahulu menyertai pakatan tentera yang dipimpin oleh Arab Saudi pada 2015, dengan berkata ia tidak bersifat ketenteraan.

Bercakap pada forum “Stand with Yemen” di sini, Chandra berkata, tindakan tersebut adalah sesuatu yang aneh kerana keputusan mengenainya tidak terlebih dahulu mendapat persetujuan di Parlimen.

“Saya ingin ingatkan, tiada lagi keraguan bahawa dari awal lagi niat untuk menempatkan pasukan (Malaysia) bukanlah untuk memindahkan pelajar Malaysia,” kata Chandra.

Beliau merujuk kepada kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa anggota tentera Malaysia dihantar ke sana untuk melindungi dan menjalankan pemindahan pelajar semasa Ops Yemen I pada April 2015.

Menurut bekas menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, anggota tentera yang dikerahkan untuk Ops Yemen II, iatu operasi kedua dari Jun 2015 hingga September 2018, juga tidak aktif atau dikerahkan untuk bertempur.

Bagaimanapun, Chandra tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

“Kerajaan Malaysia jelas memihak kepada Arab Saudi. Kita telah membina hubungan ‘istimewa’ dengan Arab Saudi di bawah kerajaan terdahulu yang dihubungkan melalui ‘saluran wang’.

“Oleh itu wang tunai adalah ‘raja’. Ia bukan hanya bekerja di Malaysia, tetapi juga melalui hubungan 2 hala dan antarabangsa,” katanya dengan menambah bahawa situasi itu adalah “hubungan kewangan” yang jelas, yang melibatkan “pinjaman” dan “hutang”.

Jelasnya lagi, perkara itu mungkin dijadikan rujukan dalam laporan mengenai dana Saudi yang disalurkan ke akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak erta peranan Arab Saudi dalam skandal kewangan 1MDB.

Chandra berkata, insiden tersebut merupakan satu penyimpangan dalam dasar luar Malaysia.

“Kita tidak pernah menghantar tentera untuk menyokong negara lain, tetapi mereka (BN) kalah kerana pembangkang (ketika itu) tidak menimbulkan persoalan. Sebahagian mereka kini menjadi kerajaan hari ini,” katanya.

Chandra berucap pada forum sempena simposium dan pameran foto Yaman yang diadakan di Institut Tamadun Islam dan Dunia Melayu (Istac) di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Al Maamari

Hadir sama aktivis Yaman, Abdul Rahman Al Maamari, pakar keganasan James M Dorsey dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Sejak tahun 2015, Arab Saudi menyokong tentera kerajaan Yaman dalam menghadapi pemberontak Houthi, yang kebanyakannya bermazhab Syiah.

Tentera Malaysia dikerahkan ke Yaman pada 2015, tetapi dipanggil balik selepas kerajaan baru mengambil alih Putrajaya dan memberitahu Riyadh bahawa Malaysia tidak lagi terlibat dalam perang tersebut.

Pengkritik memberi amaran bahawa Malaysia boleh dipertanggungjawabkan ke atas angka kematian besar disebabkan pengeboman Yaman oleh pakatan tentera yang dipimpin oleh Saudi itu.

Terdahulu Chandra berkata, wujud dakwaan berhubung kurangnya respons masyarakat bukan Islam di Malaysia terhadap krisis di Yaman kerana mereka secara umum menganggap isu tersebut hanya memberi kesan kepada umat Islam.

“Ini jelas kepada kebanyakan kita kerana cara rakyat Malaysia bertindak balas terhadap krisis atau tragedi adalah berdasarkan lokasi dan diwarnai oleh (latar belakang) etnik atau agama.

“Tidak banyak empati kecuali daripada sesetengah kumpulan dan individu.”