Kerajaan kaji mekanisme tangani isu pemerdagangan seks kanak-kanak, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bergambar bersama pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Balakong 2019, malam tadi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji mekanisme terbaik dalam menangani isu pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak yang menyasarkan Malaysia untuk kegiatan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan memandang berat isu tersebut serta turut bersama-sama negara jiran dalam memerangi penularan kegiatan sumbang itu.

“Perincian lebih teliti akan dilakukan bagi memastikan negara tidak menjadi destinasi pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak seperti yang dihadapi negara jiran lain.

“Kerajaan akan mengetatkan apa sahaja peraturan bagi memelihara anak-anak kita daripada menjadi mangsa seks,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Balakong 2019 dekat sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia semakin menjadi sasaran sindiket pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak berikutan negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Filipina telah mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan itu.

Seorang aktivis hak asasi manusia dilaporkan berkata, sindiket itu juga banyak menyasarkan kanak-kanak lelaki dan melibatkan kawasan seperti Bukit Bintang, Brickfields, Pasar Seni dan Ampang di ibu negara.