Kerajaan PH stabil, undi tidak percaya tidak benar, kata Gobind

Timbalan pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, PAS membuat dakwaan tentang undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir kerana mereka tida ada isu.

SEMENYIH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan yang amat stabil di peringkat Persekutuan dan orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengatakan sebaliknya.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah tidak benar.

“Kerajaan PH di Putrajaya adalah amat stabil. Isu undi tidak percaya ini adalah tidak benar. PAS mainkan isu ini pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah kerana mereka tiada isu.

“Tiada sebarang isu antara parti dalam PH ini…tidak benar sama sekali. Rakyat tidak perlu risau akan hal ini,” katanya pada ceramah kempen PRK DUN Semenyih, di sini malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, akan berlaku undi tidak percaya terhadap perdana menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Gobind, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, rakyat perlu memberikan kerajaan PH masa untuk memenuhi semua janji manifesto yang dibuat semasa pilihan raya umum ke-14 lepas.

“PH diberi mandat untuk memerintah negara selama 5 tahun sehingga pilihan raya umum yang seterusnya. Oleh itu beri kami masa untuk laksanakan semua janji kami,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Gobind ketika mengulas mengenai isu kutipan tol di lebuh raya, berkata, sebarang pengumuman tentang perkara itu perlu dilakukan oleh menteri berkaitan.

“Isu tol ini saya sudah utarakan sejak 2008. Jika ia tidak boleh dihapuskan kita mestilah mengurangkan kadarnya demi kebajikan rakyat. BN yang memerintah selama 61 tahun tidak dapat melakukan perkara sedemikian dan kita (PH) perlu menunjukkan yang kita berbeza daripada mereka,” katanya.

Semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu pengumuman berkaitan tol akan dilakukan dalam masa terdekat oleh menteri berkaitan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, calon BN Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul mewakili PSM.

Hari pengundian ditetapkan pada 2 Mac ini.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PPBM yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.