Laluan tol masih kadar biasa pada waktu puncak, Najib bidas kerajaan

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak yang tertunggu-tunggu pengumuman kerajaan mengenai tol lebuhraya membidas kenyataan Pejabat Perdana Menteri petang tadi, mengatakan Pakatan Harapan cuba menipu pengguna.

Bekas perdana menteri berkata pengguna masih akan membayar kadar biasa ketika waktu puncak, dan penghapusan dari 11 malam hingga 5 pagi tidak memberi manfaat kepada pengguna terbanyak.

“Kata nak bantu kurangkan kos sara hidup,” katanya di Facebook hari ini.

Najib menambah keadaan itu boleh menyebabkan pengguna yang tidak mahu membayar tol perlu keluar rumah sebelum 5 pagi dan pulang dari tempat kerja selepas 11 malam.

“Kenapa tak kaji berapa ramai pergi kerja 5 pagi dan balik 11 malam?” katanya.

Terdahulu, kerajaan bercadang memperkenalkan kadar tol diskaun 30% pada waktu biasa dan kadar tol percuma antara 11 malam dan 5 pagi selepas konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART diambil alih susulan rundingan dengan Gamuda Berhad.

Gamuda Berhad mempunyai pegangan majoriti dalam konsesi di 4 lebuhraya berkenaan.

Pengurangan tersebut dicapai menerusi penghapusan mekanisme kutipan tol sedia ada, menggantikannya dengan caj kesesakan di mana pengguna akan dikenakan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama 6 jam sehari.

Najib bagaimanapun menegaskan Gamuda Berhad sebenarnya dimiliki kerajaan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Amanah Saham Bumiputera dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

“Ini bermakna dia nak guna duit pelaburan rakyat untuk membeli konsesi tol,” katanya.

Beliau berkata langkah ini tidak memberi pulangan kepada pelaburan rakyat di syarikat-syarikat berkenaan, dan tidak adil kepada pencarum di luar ibu negara kerana konsesi tol itu di Kuala Lumpur sahaja.

Najib berkata para pekerja di konsesi tol terbabit perlu mula risau kerana kestabilan pekerjaan mereka kini tergugat.

“Siapa yang ajar teori hapus tol ini?” katanya.