Lynas, kementerian tubuh jawatankuasa bincang prasyarat sisa buangan

KUANTAN: Lynas Corporation Ltd (Lynas) telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada awal bulan ini bagi membincangkan secara terperinci berkenaan sisa buangan yang dihasilkan oleh kilang nadir bumi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze berkata perkara itu merupakan antara prasyarat yang mesti dipatuhi syarikat itu untuk pembaharuan lesen Lynas bagi meneruskan operasi di negara ini.

“Antaranya syarat Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, Lynas perlu memastikan ‘Water Leached Purification’ (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif perlu dibawa keluar dari Malaysia.

“Sementara bagi sisa buangan terjadual ‘Neutralization Underflow Residue’ (NUF) yang bukan radioaktif, Lynas perlu mengemukakan suatu pelan tindakan bagi pelupusan buangan yang terkumpul sebelum ia boleh dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan bawah Peraturan 9(6) dan 9(7) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina bersama penguni Rumah Orang-orang Tua Jabor, Jabor dan Persatuan Kanak-kanak Terencat Akal Kuantan hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia dan Komuniti Lynas Mimi Afzan Afza.

Menurutnya, pelan tindakan untuk sisa NUF diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini dan Lynas akan berjumpa dengan jabatan itu bagi mempercepatkan usaha mendapatkan kelulusan berhubung perkara itu.

“Selain itu, Lynas juga telah mengeluarkan satu kenyatan pada minggu lepas kepada bursa saham Australia Securities Exchange menyatakan kita bersetuju dengan pelan tindakan kerajaan bagi pengurusan NUF termasuk pilihan untuk penggunaan semula, pengkormesilan dan fasiliti pelupusan kekal (PDF).”

Lynas, katanya, sentiasa sedia bekerjasama dengan semua agensi dan jabatan kerajaan bawah kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian berhubung isu pelupusan sisa buangan dari Lynas untuk memastikan kilang itu terus dapat beroperasi di sini.