Muhyiddin arah KPN siasat penemuan berhala di surau

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, penghinaan terhadap agama Islam, termasuk mesej yang disebarkan di media sosial amat berbahaya dan menimbulkan kemarahan dalam masyarakat.

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggungjawab meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Klang.

Menyifatkan perbuatan berbaur hasutan dan provokatif itu sebagai berniat jahat untuk menghina Islam dan menjejaskan keharmonian kaum dan agama itu, Muhyiddin berkata, tindakan tegas berasaskan undang-undang perlu diambil terhadap pihak terbabit.

“Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Muhyiddin berkata, kejadian penghinaan terhadap agama Islam, termasuk mesej penghinaan disebarkan di media sosial sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

“Terbaharu ialah kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Suspek kes ini telah dikenal pasti dan siasatan telah diselesaikan oleh pihak polis.

“Saya percaya timbalan pendakwa raya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan suspek tersebut di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.

Pada Rabu, penduduk Taman Pendamar Indah terkejut apabila mendapati sebuah patung berhala diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda.

Patung itu dipercayai diletakkan individu tidak bertanggungjawab sebelum disedari oleh siak yang datang untuk membuat persiapan bagi solat Asar di surau berkenaan.