PBS mahu golongan muda isi banyak kekosongan jawatan

Maximus Ongkili mengetuai laungan semangat “Bersatu” di penutup seminar AKB di ibu pejabat PBS hari ini.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) meneruskan usaha mencergaskan semula parti berusia 35 tahun itu dengan merekut golongan graduan dan anak muda berbakat bagi mengisi barisan kepimpinannya.

Presiden Datuk Seri Maximus Ongkili berkata setakat ini, usaha itu mendapat respon yang baik di peringkat daerah.

Beliau berkata golongan muda profesional memilih parti itu kerana meyakini perjuangan dan matlamat PBS.

“Kita akan terus merekrut ahli baru dan saya berharap golongan muda menggunakan PBS sebagai platfom untuk mereka maju ke depan dengan menyertai perjuangan parti untuk memperjuangkan hak-hak Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata PBS parti berbilang kaum dan dipercayai rakyat Sabah.

Bercakap pada taklimat khas anjuran Akademi Kepimpinan Bersatu (AKB) hari ini, beliau berkata setakat ini, PBS hanya mempunyai 6 Adun.

“Masih terdapat banyak kekosongan. Oleh itu, kami mencari graduan muda dan berbakat yang ingin mempertahankan Sabah.”

Taklimat khusus sehari itu disertai oleh 34 orang ahli baru di mana mereka didedahkan kepada matlamat parti, Perjanjian Malaysia 1963 serta peluang-peluang dalam sektor perniagaan dan pertanian.

PBS meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lepas di mana parti itu hanya memenangi separuh daripada kerusi yang dipertandingkannya.

Pukulan terbesar buat parti itu adalah kekalahan pengasas parti dan bekas presiden Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di kubu kuatnya di Tambunan di tangan Datuk Jeffrey Kitingan, presiden Parti Solidariti Tanah Airku.

Sejak itu PBS mengalami transformasi, bermula dengan perletakan jawatan Pairin sebagai presiden dan Ongkili menggalas tanggungjawab itu.

Keahlian majlis tertinggi juga menunjukkan perubahan ketara dengan kehadiran lebih ramai wajah baru dan muda.

Parti itu juga lebih lantang bercakap tentang hak-hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963.