Penyatuan orang Melayu tak akan boleh disekat, kata Annuar

PETALING JAYA: Umno membidas usaha “kalangan tertentu” yang cuba menimbulkan kesangsian terhadap muafakat antara parti itu dengan parti Islam terbesar tanahair, PAS, mengatakan penyatuan orang Melayu tidak akan boleh disekat lagi mulai sekarang.

Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa mengumumkan satu jawatankuasa bersama melibatkan pimpinan terkanan parti dibentuk untuk meneruskan dan memperkasa permuafakatan Umno-PAS, ditengah-tengah usaha menyekat kemaraan mereka pada pilihan raya kecil DUN Semenyih yang sedang berjalan.

“Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan telah melantik beberapa pemimpin terkanan parti untuk menganggotai satu jawatankuasa bersama untuk merangka tindakan susulan ke arah kerjasama yang lebih kukuh menuju pilihan raya umum ke-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata Umno amat berpuas hati dengan kerjasama kedua-dua parti itu, mengatakan ia sudah mencapai satu titik muafakat yang lebih baik di Semenyih berbanding PRK sebelum ini.

Beliau memberi amaran usaha menghancurkan solidariti Umno-PAS tidak akan berhasil malah ia menguatkan lagi keazaman dan iltizam kedua-dua parti itu untuk terus bermuafakat.

“Muafakat Umno-PAS satu-satunya jawapan bagi kebejatan politik nasional kini, khususnya dalam konteks kesatuan umat Islam, orang Melayu dan kaum Bumiputera.”

Pada PRK Cameron Highlands 26 Januari lalu, gandingan Umno dan PAS menyaksikan Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 3,238 undi.

Pengundi Semenyih akan memilih pada 26 Februari ini.