Putrajaya tak masuk campur urusan tauliah Zakir Naik, kata Mujahid

KUALA LUMPUR: Putrajaya hari ini menegaskan pihaknya tidak akan masuk campur urusan pertaulihan yang melibatkan penceramah kontroversi, Zakir Naik, mengatakan perkara itu tertakluk bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, hanya kerajaan negeri boleh menentukan kelayakan Naik untuk memberi cemarah dan syarahan kepada umum.

“Jika mereka kata ‘ya’, maka boleh. Jika mereka kata ‘tidak’, maka tidak boleh,” katanya kepada FMT di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) hari ini.

Putrajaya terbuka kepada sesiapa pun untuk memberi ceramah selagi tidak melanggar keharmonian negara.

“Malaysia hidup dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera. Sesiapa pun mesti memelihara suasana itu tanpa menganggu gugat keadaan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak membenarkan Naik menyampaikan ceramah terbuka di Pulau Pinang yang dijadualkan pada Jun kerana tidak mempunyai tauliah.

Pengarah Zulkifli Long berkata Naik boleh memohon tauliah yang menetapkan 6 syarat, antaranya tidak mengajar sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan tidak menyakitkan hati penganut agama dan budaya lain.

Naik dituduh menyampaikan ucapan-ucapan yang bersifat provokasi, yang menurut Bangladesh menjadi penyebab kepada serangan yang meragut 22 nyawa di Dhaka pada 2016.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat Yayasan Penyelidikan Islam milik Naik atas dakwaan pengubahan wang.

Naik menafikan semua tuduhan itu, mengatakan dia mangsa media India yang dituduh mensensasikan isu berkenaan dalam usaha mendapatkan lebih ramai penonton.