Shafie digesa beritahu Manila bahawa Sabah hak Malaysia

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, menerima kunjungan hormat duta Filipina ke Malaysia Charles C Jose di Kota Kinabalu, Khamis lepas.

KOTA KINABALU: Kenyataan duta Filipina ke Malaysia, Charles C Jose yang menegaskan tuntutan Manila ke atas Sabah di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, membangkitkan kemarahan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Setiausaha agung PBS, Datuk Jahid Jahim berkata, hakikat bahawa Jose berani berkata begitu di hadapan ketua menteri Sabah lebih memalukan.

Jahid bertanya kenapa masih tidak ada respons daripada ketua menteri dan paling penting daripada Kementerian Luar walaupun duta itu secara terbuka mempersoalkan kedaulatan Sabah dan Malaysia.

“Kini jelas Manila masih meneruskan tuntutannya seperti disebut oleh Jose bahawa ia tidak pernah digugurkan.

“Kementerian berkenaan hendaklah bersikap tegas dan menghentikan semua aktiviti dan program berkaitan dokumentasi orang asing.

“Kerajaan juga mesti menyemak semula kesahihan semua dokumen yang dikeluarkan kerana kita sepatutnya berasa terancam dengan tuntutan berterusan jiran kita itu,” katanya.

Selain itu kata beliau, kerajaan persekutuan bertanggungjawab menjamin keselamatan, terutamanya kawasan sempadan antara negeri Borneo dengan Filipina.

“Ini tanggungjawab mereka sewaktu kita bersetuju membentuk Malaysia.

“Oleh sebab itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang dimasukkan ke dalam Perlembagan Persekutuan, Sabah akan menyumbang 60% daripada hasil bersihnya kepada kerajaan pusat,” katanya.

Semasa sidang media berikutan kunjungan hormatnya ke pejabat Shafie, Jose memberitahu media bahawa Manila tidak menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa Manila tidak meneruskan perkara itu secara aktif pada masa ini.

Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Luar, secara konsisten menolak tuntutan Filipina itu. Paling akhir pada tahun lepas, apabila Aquilino Pimentel Jr, anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina, mencadangkan Sabah dimasukkan ke dalam wilayah Filipina.

Walaupun kerap membuat kenyataan di media, Filipina tidak pernah mengambil apa-apa langkah formal seperti mendaftarkan tuntutan rasmi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).