Sukar kesan pendera melalui tingkah laku, kata pakar psikoterapi

KUALA LUMPUR: Sikap seorang ‘pendera’ sukar untuk dikesan dengan hanya menilai tingkah laku sosialnya, kata pakar psikoterapi dan kaunseling, Dr Meriam Omar Din di Access Counselling Services.

Beliau berkata seorang pendera tidak memaparkan langsung ciri-ciri keganasannya di luar malah apa yang ditunjukkan adalah sebagai seorang yang budiman, baik dan pendiam.

“Ramai orang tidak tahu, pendera bertindak ganas apabila bersama-sama individu yang dianggap lemah dan tidak akan melawan apabila diserang. Ini kerana, dia tidak berupaya sebab itu dia hanya berani dengan orang yang tidak berupaya atau berdaya.

“Kemungkinan ketika di luar, dia sangat pendiam malah masih boleh tersenyum walaupun orang bercakap buruk mengenainya. Tetapi, sebenarnya dia memendamkan masalah sebenar dan melepaskan geram dengan bertindak ganas,” katanya.

Beliau mengulas insiden seorang kanak-kanak, Muhammad Hafiz Abdullah, 5, yang meninggal dunia akibat didera yang dipercayai dilakukan oleh bapa tiri dan ibu kandungnya di Kampung Batu Balik, Pekan pada 20 Februari lepas.

Selain itu, katanya, tekanan hidup yang dihadapi seseorang juga boleh menjadi punca individu untuk cenderung melakukan penderaan sebagai medium melepaskan tekanan atau perasaan dendam.

“Terutamanya, bagi krisis yang ada penderaan secara lisan atau fizikal, dia hendak melepaskan geram pada orang dewasa sukar jadi dengan cara paling senang adalah melepaskan geram pada anak yang menyebabkannya tertekan. Kita panggilnya sebagai pemindahan stres,” katanya.

Dr Meriam berkata antara punca pendera menjadi lebih berani dan agresif disebabkan sikap orang ramai terutamanya di kawasan bandar yang tidak peka dengan keadaan sekeliling.

“Di bandar, kebiasaan orang ambil sikap tidak peduli atau individualistik. Contohnya bila ada bunyi jeritan luar biasa yang kuat di rumah sebelah dan sudah beberapa malam berlaku. Sepatutnya jika ternampak atau dengar sesuatu yang pelik kita dah rasa curiga dan bertindak untuk pastikan hal sebenar atau membuat laporan polis, ini untuk langkah keselamatan,” katanya.

Justeru, beliau berkata paling utama ialah sikap peka dengan tingkah laku individu termasuk sering mengambil berat mengenai keadaan sekeliling agar si “pendera” tidak bebas melakukan keganasan.

Menurut Dr Meriam, sikap suka mengambil tahu perihal orang dalam situasi ini amat perlu sekiranya ada perkara yang mencurigakan berlaku kerana lazimnya pendera tidak akan menunjukkan sebarang tanda atau ciri-ciri yang mudah dikesan.

Penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar turut menasihatkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga supaya mengenali terlebih dahulu perangai pasangan masing-masing.

“Terutamanya bagi mereka yang sudah mempunyai anak, pastikan pasangan kita itu benar-benar boleh terima bukan sahaja kita tetapi juga anak kita. Bukan apa, kadang-kadang pasangan ini boleh berlakon semata-mata ingin memenuhi hasrat untuk berkahwin. Adalah mustahak untuk kita mengenalinya daripada keluarga, rakan-rakan atau jiran,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan orang ramai atau pihak terdekat agar lebih peka selain berani melaporkan kepada pihak berkuasa jika berasa sesuatu yang luar daripada biasa.

“Biasanya, kanak-kanak yang didera ini takut nak bercakap dengan orang, jadi mereka yang berada di sekelilingnya perlulah peka. Jika berlaku sesuatu yang mencurigakan, jangan dibiarkan sahaja sebaliknya laporkan segera kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau polis,” katanya.