Suspek kes tipu berkait penahanan 47 rakyat Malaysia ditangkap

KUCHING: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Mustafa Kamal Gani mengesahkan penangkapan seorang suspek kes tipu pekerjaan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja baru-baru ini.

Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditangkap pada pukul 3.00 petang hari ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan sekiranya siasatan terhadap suspek tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuching esok untuk permohonan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan media.

Sehingga kini, 23 orang iaitu 18 lelaki dan 5 wanita membuat laporan polis berhubung kes ini.