Wisma Putra sahkan 16 rakyat Malaysia ditahan di Palembang

Rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen negara yang akan dilawati dengan memohon visa bersesuaian dengan tujuan lawatan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan penahanan 16 rakyat Malaysia di Palembang, Indonesia, atas dakwaan menyalahgunakan visa sosial ke republik itu pada 9 Jan lepas.

Menurut kenyataan kementerian itu malam tadi, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya, Retno LP Marsudi, Isnin lalu, meminta kerjasama kerajaan Indonesia memberi perhatian kepada isu kebajikan dan kesihatan tahanan serta mempercepatkan proses perundangan.

“Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan mengadakan lawatan konsular sebanyak 3 kali, iaitu pada 16 dan 21 Jan serta 14 Feb lepas bertujuan memastikan aspek kebajikan, keperluan asas dan kemudahan perubatan tahanan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan akan mengadakan satu lagi lawatan konsular dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Pendakwa Raya dan Pengadilan Palembang bagi memudah dan mempercepatkan proses perundangan.

Kementerian Luar sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga Malaysia yang ditahan di luar negara sentiasa diberi keutamaan, kata kenyataan itu.

Rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen negara yang akan mereka dilawati dengan memohon visa yang bersesuaian dengan tujuan lawatan.

“Kerajaan Malaysia sentiasa menghormati perundangan Indonesia dan tidak akan campur tangan dalam urusan perundangan tersebut serta menghargai segala kerjasama yang diberikan oleh kerajaan republik itu dalam memudahkan urusan konsular kepada semua tahanan,” menurut kenyataan itu.