DBP, 2 badan Indonesia jalin kerjasama pelbagai bidang

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka serta 2 agensi Indonesia bersetuju untuk menjalin kerjasama dan berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang, susulan lawatan kerja Menteri Pendidikan Maszlee Malik ke republik itu pada Januari.

Kerjasama terjalin menerusi lawatan kerja Ketua Pengarah Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran menemui Jawatankuasa Buku Nasional Indonesia (KBNI) dan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia di Jakarta (PNRI) pada Rabu.

Pelbagai persetujuan dicapai dalam perbincangan dengan KBNI, termasuk pertukaran kakitangan bagi meningkatkan pengalaman dan pendedahan kedua pihak pada Mac dan mengundang KBNI ke Malaysia untuk sesi perkongsian pengalaman.

DBP dan KBNI juga bersetuju mengadakan memorandum persefahaman dan persetujuan dalam bidang pemasaran buku, dan berkolaborasi untuk Pesta Buku Frankfurt, pesta perdagangan terbesar seumpamanya di dunia, yang akan diadakan di Frankfurt, Jerman pada Oktober.

Dalam perjumpaan dengan PNRI, badan Indonesia itu memaklumkan kepakaran dalam manuskrip digital, termasuk manuskrip mengenai nusantara dan dunia Melayu yang dibuat di Sepanyol dan Jepun.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bertukar-tukar kajian manuskrip sedia ada, dan membuat penerbitan bersama dalam bidang yang bersesuaian, selain mengadakan memorandum persefahaman dan persetujuan.