Jangan bimbang, kami percaya, LHDN beritahu pembayar cukai pengakuan sukarela

CEO LHDN Sabin Samitah berharap pembayar cukai akan mempercayai sistem cukai.

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata cabaran utama yang dihadapi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dalam mengalakkan pembayar cukai berlaku jujur mengenai pendapatan yang tidak diisytiharkan adalah membina kepercayaan dan mengurus persepsi dalam kalangan pembayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Sabin Samitah berkata matlamat utama PKPS adalah mengalakkan pembayar cukai, terutama mereka yang memiliki akaun luar pesisir, tampil secara sukarela dan mengisytiharkan pendapatan yang tidak dilapor atau tidak dilaporkan sepenuhnya sebelum ini bagi tujuan cukai.

“Ia bertujuan untuk menyediakan ruang bagi pembayar cukai berterus terang mengenai hal ehwal cukai mereka dan mulakan sekali lagi dari tahun taksiran 2018,” kata Sabin dalam temubual eksklusif dengan FMT.

PKPS, yang dibangkitkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019, memperuntukkan penalti yang dikurangkan kepada 10% bagi pendapatan yang tidak dilapor sepenuhnya bermula November 2018 hingga 31 Mac, dan penalti 15% bermula 1 April hingga 30 Jun.

Penalti akan dikenakan pada kadar biasa iaitu antara 80% hingga 300% selepas 30 Jun mengikut kes.

LHDN menyasarkan kutipan sebanyak RM147 bilion tahun ini.

LHDN mengutip RM137 bilion cukai pendapatan pada 2018. Tahun ini ia menyasarkan RM147 bilion.

Kerajaan dijangka menerima antara RM10 bilion hingga RM20 bilion menerusi PKPS.

“Pembayar cukai perlu percaya pada sistem cukai agar PKPS berjalan seperti dirancang,” kata Sabin.

Beliau memberi jaminan kepada pembayar cukai bahawa sebarang pengisytiharaan akan diterima secara suci hati dan tiada pertanyaan lanjut.

Sabin berkata sebarang maklumat yang diberi akan dirahsiakan seperti yang tercatat dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

PKPS bukanlah program luar biasa kerana ia pernah dilaksanakan di beberapa negara.

Indonesia melaksanakan program pengampunan cukai yang berjaya pada 2017.

Melalui PKPS, pembayar cukai diminta memperlihatkan akaun-akaun luar pesisir supaya boleh dipastikan sama ada pendapatan itu dari Malaysia dan tertakluk pada pada cukai Malaysia.

Sabin berkata pada September 2018, Malaysia menganggotai Forum Global Mengenai Ketelusan Dan Pertukaran Maklumat Bagi Tujuan Cukai untuk menjalankan inisiatif Pertukaran Maklumat Automatik yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Sejak itu LHDN menerima maklumat kewangan daripada rakan-rakan sejawat berhubung pemilikan akaun bank luar negara.

Maklumat yang diperolehi akan berguna bagi LHDN dan pihak berkuasa cukai di seluruh dunia untuk mengekang pengelakan cukai, yang meningkatkan pematuhan cukai dan mengurangkan pengelakan cukai.