Jong Un naik keretapi ke Hanoi hadir sidang puncak dengan Trump

Kim akan mengambil masa 2 hari setengah sekiranya beliau menaiki keretapi ke Hanoi dalam satu perjalanan sejauh beberapa ribu kilometer melalui China. (Reuters pic)

SEOUL: Korea Utara mengesahkan buat pertama kalinya pemimpin negara itu, Kim Jong Un, akan menghadiri sidang puncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, beberapa hari sebelum sidang puncak berkaitan isu nuklear itu diadakan di ibu negara Vietnam, Hanoi.

Kim meninggalkan Pyongyang dengan keretapi pada petang Sabtu untuk menghadiri sidang puncak pada 27-28 Feb depan diiringi pegawai kanan Korea Utara, lapor agensi berita rasmi negara itu, KCNA

Delegasi Kim termasuk pegawai atasan Korea Utara yang megambil bahagian dalam sidang puncak tahun lepas antara Kim dan Trump di Singapura, iaitu duta kanan ke AS, Kim Yong Choi; naib pengerusi jawatankuasa pusat Parti Pekerja Korea, Ri Su Yongdan menteri luar, Ri Yong Ho.

Adik perempuan pemimpin Korea itu, Kim Yo Jong, yang dilihat membantu beliau di Singapura, turut mengiringi Kim kali ini.

Pegawai kanan Korea Utara yang lain, seperti ketua staf beliau, Kim Chang Son dan Kim Hyok Choi, rakan sejawat wakil AS, Stephen Biegun, sudah berada di Hanoi bagi mengetuai persiapan sidang puncak itu.

Semalam, Kementerian Luar Vietnam memaklumkan bahawa Kim akan membuat lawatan rasmi ke negara itu “dalam beberapa hari lagi” atas jemputan Nguyen Phu Trong, presiden dan setiausaha agung Parti Komunis yang memerintah.

Trump dan Kim akan bertemu di Hanoi 8 bulan selepas sidang puncak bersejarah mereka di Singapura – yang pertama antara presiden AS dan pemimpin Korea Utara. Mereka kemudiannya bersetuju untuk bekerjasama bagi membebaskan Semenanjung Korea daripada senjata nuklear sepenuhnya.

Bagaimanapun kemajuan yang perlahan selepas itu memaksa 2 pemimpin tersebut bertemu semula bagi meneroka pendekatan diplomasi atas-ke-bawah, kata penganalisis.

“Mereka tidak akan membuat perjanjian yang akan menggugat aliran diplomasi sekarang. Trump berkata mereka akan berjumpa sekali lagi bagi menggerakkan persefahaman sebelum ini,” kata Shin Beom-chui, felo kanan di Institut Kajian Dasar Asan.

Pentadbiran Trump menggesa Korea Utara menamatkan program senjata nuklearnya yang mengancam AS sebelum ia diberikan apa-apa konsesi.

Dalam pada itu, Korea Utara mahu sekatan AS dilonggarkan, jaminan keselamatan dan penamatan formal perang Korea 1950-53 yang berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.

Kim akan mengambil masa 2 hari setengah sekiranya beliau menaiki keretapi ke Hanoi dalam satu perjalanan sejauh beberapa ribu kilometer melalui China.

China tidak memberikan apa-apa maklumat mengenai perjalanan Kim melalui negara itu. Kementerian Luarnya tidak menjawab pertanyaan sama ada Kim akan bertemu Presiden Xi Jinping sebelum tiba di Hanoi.

Pada 26 Feb, Vietnam akan menutup jalan yang bakal dilalui Kim ke Hanoi dari sebuah stesen di sempadan China, kata media negara itu.

Perjalanan dengan keretapi merupakan kesukaan Kim Jong In, sama seperti bapa beliau, Kim Jong Il dan datuknya, Kim Il Sung.