Kami setuju tidak ganggu pentadbiran masing-masing, kata Anwar tentang Dr Mahathir

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, berikutan persefahaman itu, beliau akan memberi sokongan penuh semasa Dr Mahathir memimpin kerajaan, termasuk dalam hal yang membabitkan ekonomi negara.

SEMENYIH: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencapai satu persefahaman untuk tidak saling mengganggu pentadbiran masing-masing semasa mengetuai kerajaan.

Presiden PKR itu berkata, berikutan persefahaman itu, beliau akan memberi sokongan penuh semasa Dr Mahathir memimpin kerajaan, termasuk dalam hal yang membabitkan ekonomi negara.

“Saya ambil keputusan. Tun, ini giliran anda, kita bagi sokongan penuh. Saya tak mahu campur.

“Sebab apa? (Kerana) saya tak mahu ganggu kerja dia. (Tapi) masa giliran saya, saya buat, jangan ganggu pula saya. Itu persefahaman kita,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 400 hadirin di Kantan Permai, semasa berkempen menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, PH bersetuju melantik Anwar sebagai perdana menteri ke-8 selepas Dr Mahathir diangkat menjadi perdana menteri sebagai sebahagian daripada persefahaman gabungan politik itu dalam menghadapi pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Pada Sept tahun lalu, Dr Mahathir berkata, beliau akan menghormati perjanjian dalam kalangan komponen PH bahawa beliau akan berperanan sebagai perdana menteri sementara selama 2 tahun sebelum menyerahkan kepimpinan kepada Anwar.

Dalam ucapannya juga, Anwar turut menasihatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar tidak bermain politik dengan mendakwa beliau berkomplot mahu menjatuhkan Dr Mahathir.

Anwar berkata, peguamnya memberitahu agar beliau mengambil tindakan menyaman Abdul Hadi atas dakwaan yang dibuatnya itu kerana ia merupakan satu tuduhan berat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, beliau tidak berminat untuk menyaman Abdul Hadi buat masa ini.

“Saya tidak mahu (saman) kerana dia pernah jadi sahabat baik, jadi saya tidak bermaksud untuk bergaduh begitu.

“Cuma saya nak bagi tau tak bolehlah (buat macam itu). Politik tak boleh macam itu…kamu jubah atau serban tidak boleh menghalalkan cara,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa 2 parti komponen PH mungkin merancang menyingkirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Abdul Hadi selepas itu turut dilaporkan berkata, dakwaan komplot itu bukan dibuat-buat kerana “kalau tiada angin, pokok tidak bergoyang”.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac depan menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH daripada PPBM, Muhammad Aiman Zainali dengan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.