Kerajaan tubuh bahagian khas kaji penyesuaian manifesto PRU14

BANGI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan 1 seksyen khas bagi menyemak dan memformulasi semula manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) agar dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata langkah itu diambil bagi memastikan janji PRU14 dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi kerajaan sekarang.

Seksyen ini diwujudkan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat prihatin dengan perkara yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU14, katanya ketika ditemui selepas menutup karnival sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Ansara di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Jelasnya manifesto PRU14 digubal berdasarkan fakta yang terhad dengan sebahagiannya tidak ada dalam domain umum.

“Jadi, apabila PH menjadi kerajaan, semua manifesto terpaksa diformulasi semula dengan versi lain selepas semua data dan fakta diteliti selain mengkaji kekangan baharu yang timbul,” katanya.

Ditanya mengenai perundingan di antara kerajaan dan Gamuda Berhad yang memegang konsesi 4 lebuh raya, Amiruddin berkata perincian lain akan diumumkan selepas kesemua perkara berbangkit diperhalusi.

Ditanya kemungkinan pengumuman diskaun dan penghapuskan tol pada waktu tertentu yang dibuat semalam boleh dilaksanakan pada tahun ini, Amiruddin menjawab: “Doalah banyak-banyak.”

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu, Dr Mahathir berkata kerajaan berhasrat memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Dalam kenyataan sama, perdana menteri menjelaskan PH berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan memansuhkan kutipan tol secara berperingkat, mengikut syarat-syarat perjanjian konsesi.

Sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu pengguna dikenakan bayaran caj kesesakan pada kadar sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak manakala bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30% berbanding kadar tol sedia ada.

Bagi tempoh 11 malam hingga 5 pagi pula, penggunaan 4 lebuh raya terbabit adalah percuma.