Kontraktor Bumiputera tersepit, kurang projek mega ditawarkan

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Mokhtar Samad berkata, sebanyak 2,646 kontraktor Bumiputera G7 mempunyai inovasi, kekuatan kewangan dan pemikiran untuk melaksanakan projek mega.

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyeru kerajaan supaya memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam projek infrastruktur mega negara, sekali gus menyumbang kepada pembinaan negara.

Presiden PKBM Datuk Mokhtar Samad berkata, seramai 2,646 kontraktor Bumiputera G7 mempunyai inovasi, kekuatan kewangan dan pemikiran untuk melaksanakan projek mega Malaysia.

“Kontraktor Bumiputera kini berada dalam keadaan sukar kerana berlaku kekurangan yang ketara dalam projek yang ditawarkan dan persatuan berharap kerajaan memberi perhatian sewajarnya,” katanya diminta mengulas peluang kontrak Bumiputera pada masa kini.

Semakan dalam laman web Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan beberapa laman web lain mendapati ratusan kontraktor Bumiputera berwibawa terlibat dalam pelbagai projek besar, antaranya Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, Asal Bina Sdn Bhd, Rahimkon Sdn Bhd, SN. Akmida Holdings Sdn Bhd dan TRC Synergy Bhd.

Katanya, PKBM mempunyai keyakinan kontraktor Bumiputera mampu menjayakan pelbagai projek mega kerana industri pembinaan bukan bidang baru bagi mereka.

Sejak Dasar Ekonomi Baru dilancarkan perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1970, kerajaan sentiasa memberi peluang dan peruntukan kepada kontraktor Bumiputera dari gred G7 hingga G1 untuk menceburi sektor pembinaan.

“Saya jangka banyak pencapaian kontraktor Bumiputera yang mendapat peluang daripada dasar ini, menjayakan projek kerajaan dan telah ke Dubai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh membantu mengukuhkan kebolehan kontraktor Bumiputera dengan sentiasa menaruh kepercayaan kepada mereka dan memberi bimbingan.

“Sebelum ini bukan tiada bimbingan dan gandingan, tetapi tidak efisien. Pihak persatuan ingin kerajaan baru melihat kenapa kontraktor tempatan, terutamanya Bumiputera kurang menyerlah. Mereka perlu dibantu,” katanya.

Mokhtar berkata, ketika ini kontraktor Bumiputera amat sesuai diketengahkan dalam pembangunan infrastruktur, terutamanya pembinaan rel.

“Kita seharusnya memberi peluang kepada mereka kerana keadaan berbeza. Kontraktor Bumiputera kini mempunyai keupayaan dan kepakaran,” katanya.

Kini, tenaga muda kontraktor Bumiputera melibatkan golongan profesional seperti jurutera, juruukur bahan, arkitek, kawalan kualiti dan pengurusan kontrak, bukan seperti generasi terdahulu yang tidak mempunyai pengalaman, sebaliknya hanya mewarisi ilmu pertukangan Melayu lama.

Katanya, PKBM telah berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menambah baik peluang kontraktor Bumiputera.

“Persatuan mengenal pasti kontraktor yang bertungkus lumus melakukan sendiri tanpa bantuan dan memohon kerajaan untuk mempertimbang bantuan seperti dilakukan oleh kerajaan Korea.

“Pada lewat 1970-an, kerajaan Korea telah membimbing kontraktor mereka. Pegawai-pegawai kerajaan dan kontraktor meneroka luar negara, mewujudkan bank pembinaan,” katanya.

Mokhtar juga berharap kerajaan mengambil keputusan sewajarnya bagi projek yang dibekukan pelaksanaannya kerana dikhuatiri terdapat ketirisan oleh kerajaan terdahulu.

Pada masa kini, tiada kontraktor Bumiputera yang muflis, namun ada yang terpaksa mengurangkan pekerja.

“Tetapi ada yang tidak berbuat demikian (mengurangkan pekerja) kerana berharap akan mendapat kembali kontrak terdahulu,” katanya.

PKBM berharap kontraktor yang terlibat dalam projek yang dibekukan supaya berunding dengan baik agar menguntungkan kedua-dua pihak, katanya.

Mengenai kontraktor dari luar negara yang dikatakan mempunyai lebih banyak peluang di negara ini, Mokhtar berkata, PKBM juga tidak jelas dengan tindakan kerajaan terdahulu, sedangkan kontraktor tempatan juga mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek.

Rasional terdahulu, walaupun kontraktor utama adalah kontraktor asing, kontraktor tempatan juga akan terlibat.

“Namun peratusannya dilihat rendah. Persatuan berharap apa jua pendekatan yang diambil kerajaan baru, jangan lupa kontraktor Bumiputera juga mampu melaksanakan projek pembinaan negara,” katanya.