Lima kanak-kanak diasingkan, positif difteria selepas kontak

Lima termasuk kakak kepada kanak-kanak yang maut baru-baru ini dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sultanah Aminah.

JOHOR BAHRU: Lima kanak-kanak yang mempunyai kontak dengan kanak-kanak lelaki yang maut disyaki akibat difteria 3 hari lepas, dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas didapati positif penyakit itu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Sahruddin Jamal berkata kelima-lima mereka melibatkan 3 perempuan dan 2 lelaki berumur 4 tahun ke bawah, termasuk seorang kakak kepada kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 1 bulan yang maut itu.

“Kelima-lima mereka antara 52 individu menjalani ujian saringan difteria kerana mempunyai kontak dengan mangsa (kanak-kanak lelaki) dan kehadiran ‘corynebacterium diphteria’ dikesan pada sampel calitan tekak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat 5 kanak-kanak berkenaan di HSA hari ini.

Sahruddin berkata kelima kanak-kanak itu yang dimasukkan ke HSA sejak semalam kini dalam keadaan stabil.

Beliau berkata 3 daripadanya melibatkan 2 perempuan dan 1 lelaki dibenarkan pulang ke rumah esok, selepas 48 jam diberikan rawatan manakala kakak mangsa yang tidak pernah mendapatkan sebarang suntikan imunisasi dan 1 lagi kanak-kanak lelaki masih memerlukan rawatan.

Beliau berkata selain kakak mangsa, 4 kanak-kanak terbabit disaring di kawasan perumahan sama dengan mangsa dan di sebuah taska berdekatan.

Katanya, ibu kanak-kanak lelaki yang maut itu turut dirujuk kepada pakar obstetrik dan ginekologi kerana sedang mengandung, namun, dia didapati negatif difteria.

Sahruddin berkata terdapat 2 kes difteria termasuk 1 kematian kanak-kanak berumur 14 bulan direkodkan tahun lepas di negeri ini, manakala 6 kes dengan 1 kematian direkodkan tahun ini, melibatkan kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 1 bulan berkenaan.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Johor ingin menasihati orang awam agar mendapatkan perkhidmatan imunisasi daripada klinik kesihatan kerajaan ataupun swasta.

“Penyakit difteria, demam campak, beguk, pertussis dan rubella boleh dicegah melalui imunisasi. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman malah mendedahkan komuniti kepada jangkitan yang sama,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun 1 bulan meninggal dunia Khamis lepas, disyaki akibat jangkitan difteria.

Kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lepas sebelum dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lepas dalam keadaan lemah.

Kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Feb dengan sebab kematian “severe diphtheria with multiorgan failure”.