Najib patut gembira langkah hapus tol, kata pemimpin PPBM

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak harus menyambut baik cadangan kerajaan untuk memansuhkan tol bukannya mempertikaikan pengumuman itu di media sosial, kata seorang ahli Majlis Tertinggi PPBM.

Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, Najib sepatutnya gembira dengan pengumuman itu kerana kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha meringankan beban hidup rakyat.

Jelasnya, kesukaran kerajaan untuk menunaikan janji penghapusan tol berpunca daripada bebanan hutang yang ditinggalkan oleh Najib sewaktu mentadbir negara.

“Beliau meninggalkan beban hutang negara terbesar dalam sejarah sejak Malaysia Merdeka lagi, semestinya beliau sendiri menyedari kesukaran itu.

“Sekali gus (beliau) juga pasti kagum akan kebolehan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad melunaskan janji penghapusan tol ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Putrajaya mengumumkan kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi lebuh raya yang mana syarikat itu mempunyai pegangan majoriti, membabitkan 4 lebuh raya bertol di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, dengan kejayaan pengambilalihan itu kelak, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada.

Menurutnya, lebuh raya bertol berkenaan adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

“Sebagai ganti, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan yang menyaksikan pengguna lebuh raya dikenakan bayaran yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama 6 jam sehari.

“Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu tidak sibuk (off-peak) antara jam 11 malam sehingga 5 pagi (yang bermakna) penggunaan lebuh raya adalah percuma,” kata kenyataan itu lagi.

Penggunaan lebuh raya terbabit pada masa biasa lain diberikan diskaun 30%.

Dalam responsnya terhadap pengumuman kerajaan itu, Najib berkata, proses rundingan pengambilalihan konsesi lebuh raya berkenaan adalah tindakan tidak adil kepada penduduk di luar Kuala Lumpur, selain tidak memberi pulangan kepada pelaburan rakyat.

Beliau berkata, rundingan antara kerajaan dengan Gamuda Bhd menggunakan duit pelaburan rakyat untuk membeli konsesi tol.

“Saya juga nak tegaskan bahawa Gamuda Bhd dimiliki oleh rakyat melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (TH), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan sebagainya.

“Ini bermakna dia (kerajaan) nak guna duit pelaburan rakyat untuk membeli konsesi tol yang terletak di Kuala Lumpur sahaja,” katanya di laman Fabebook beliau, semalam.

Mengulas lanjut, Akhramsyah berharap Najib bersedia memohon maaf atas ketelanjurannya memfitnah dan mengkritik usaha kerajaan dalam menunaikan manifesto pilihan raya.

“Saya harap ia juga menghentikan hamburan fitnah BN yang kononnya kerajaan PH tidak menunaikan janji pilihan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Beliau dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pembangkang boleh berkata apa-apa sahaja berhubung langkah penghapusan tol yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya, terpulang kepada pembangkang untuk menyifatkan pengumuman itu sebagai “dedak” sempena pilihan raya kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini.

“Mereka boleh kata apa sahaja tapi kerajaan, kita usahakan sebaik mungkin atasi masalah ini untuk semua,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, usaha kerajaan adalah sama seperti yang dilaksanakan oleh negara maju lain.

“Uniknya dalam hal ini, kita ikut dasar negara maju. Kadar tol diskaun 30% bagi pengunaan waktu biasa, percuma pada waktu malam dan cas kesesakan pada waktu trafik sesak.

“Ini juga bagi memastikan rakyat dapat berkongsi kereta (car pool) dan menggunakan kenderaan awam,” katanya.