Pemimpin PAS tidak bercita-cita menjadi perdana menteri, kata Mohd Amar

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: PAS tidak pernah bercita-cita mahu melantik pemimpinnya untuk menjadi perdana menteri dan sedar mengenai kemampuan parti itu memenangi sebarang pilihan raya umum, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, parti itu hanya ada 18 kerusi di Parlimen, justeru tidak logik pemimpin PAS membawa usul undi tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tentulah orang yang nak bawa usul (undi tak percaya) ini orang yang nak jadi perdana menteri. Takkanlah kita yang ada 18 kerusi ini nak buat undi tak percaya terhadap perdana menteri.

“Kita ada maklumat dan (sebelum ini) kita pun tak cakap siapa-siapa (yang nak bentang usul undi tak percaya di Parlimen, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Revisit Kota Bharu 2019 di Dataran Ilmu di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan menyatakan sokongan parti tersebut terhadap kepimpinan perdana menteri itu.