Penurunan CPI tidak bawa deflasi, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penurunan CPI bagi bulan Januari 2019 bukan disebabkan oleh kelemahan permintaan atau pertumbuhan ekonomi.

PETALING JAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menolak kebimbangan berlakunya deflasi berikutan penurunan sebanyak 0.7% Indeks Harga Pengguna (CPI) tahun ke tahun bagi bulan Januari 2019, yang pertama kali berlaku dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata, ini kerana angka pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah sihat, yang menyaksikannya berkembang sebanyak 4.7% pada 2018 dan berkemungkinan mencapai angka 4.9% tahun ini.

Dalam satu kenyataan Lim berkata, penurunan CPI bagi bulan Januari itu bukan disebabkan oleh kelemahan permintaan atau pertumbuhan ekonomi.

Sebaliknya ia disebabkan oleh faktor bekalan dalam bentuk harga input yang lebih murah, iaitu pengurangan harga minyak petrol dan minyak lain.

“Ini menjadikan penurunan harga dalam bulan Januari 2019 sangat berbeza daripada deflasi harga yang berlaku semasa tahun 2009,” katanya.

Lim berkata, semasa krisis kewangan sedunia, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi dengan KNDK negara merudum 5.8% untuk suku pertama, jatuh 3.7% pada suku ke-2 dan kemudiannya turun 1.1% pada suku ke-3 pada tahun 2009.

“Perlu diingatkan bahawa deflasi harga dari sudut tahun-ke-tahun hanya berlaku setelah kemelesetan berlangsung.

“Tambahan lagi, pengeluaran industri telah merosot dengan mendadak sebelum kemelesetan ekonomi dan deflasi harga bermula.

“Ini bermakna deflasi harga bagi tahun 2009 adalah diakibatkan oleh kemelesetan ekonomi apabila sektor isi rumah dan perniagaan mengurangkan pembelian mereka.

Sebaliknya kata beliau, penurunan harga pada Januari 2019 bukan disebabkan oleh kemelesetan ekonomi ataupun kelemahan permintaan.

Lim berkata, penurunan besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dihadapi pada 2009 tidak kelihatan hari ini pada saat pengeluaran industri juga meningkat.

“Walaupun data untuk KDNK dan pengeluaran industri untuk suku pertama 2019 masih lagi dikumpulkan, pemerhatian semasa mencadangkan bahawa kedua-dua statistik sedang mengalami pertumbuhan,” katanya.

Lim berkata, penurunan CPI ini membuktikan bahawa dasar Kerajaan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta penstabilan harga minyak melalui pengenaan harga siling berjaya mengembangkan ekonomi negara untuk manfaat para peniaga dan rakyat.

“Penurunan harga ini akan meningkatkan kuasa membeli rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, walaupun CPI menurun 0.7%, kerajaan sedar bahawa banyak lagi perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat Malaysia, terutama sekali bagi golongan B40.

“Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan supaya penurunan CPIini dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh pelosok masyarakat,” katanya.