Sampai bila perlu tunggu nak buat pengumuman, soal menteri

SEMENYIH: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mempersoalkan sampai bila kerajaan perlu tunggu sebelum mengumumkan cadangan pengambilalihan 4 lebuhraya selepas pengumuman itu dipersoalkan pembangkang semalam.

Loke mengingatkan pilihan raya kecil akan diadakan di DUN Rantau, Negeri Sembilan selepas PRK DUN Semenyih yang sedang berjalan ketika ini, sedangkan rakyat mahu kerajaan umumkan langkah-langkahnya.

“Adakah sebab masa pilihan raya kita tidak boleh umumkan apa-apa? Kita nak cepat, rakyat pun nak cepat. Rakyat nak tengok keputusan kerajaan. Apabila kita sudah ada satu rancangan yang boleh dilaksanakan, kita umumkanlah,” katanya pada sidang media selepas program bersama pengundi di pekan Semenyih hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan ia dalam perbincangan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Kerajaan bercadang memperkenalkan kadar tol diskaun 30% di waktu biasa dan kadar tol percuma antara 11 malam dan 5 pagi selepas konsesi diambil alih. Pengurangan tersebut dicapai menerusi penghapusan mekanisme kutipan tol sedia ada, menggantikannya dengan caj kesesakan di mana pengguna akan dikenakan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama 6 jam sehari.

Loke menepis dakwaan mengatakan pengumuman itu bertujuan memancing undi di Semenyih.

“Tak ada satu pun lebuhraya itu di Semenyih,” katanya.

Sementara itu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut serta dalam acara petang tadi berkata Barisan Nasional tidak wajar persoalkan pengambilalihan lebuhraya itu.

“Kenapa BN tak buat dalam tempoh 60 tahun? Cuba jawab. Bila kita sudah buat hanya dalam tempoh 8 bulan kenapa persoalkan?

“Walaupun tidak dapat penuhi manifesto, kita tunjukkan betapa kita serius untuk menangani beban rakyat. Kita buat yang baik,” katanya.